Tuesday 1 March 2011

Harga Minyak Tidak Akan Naik?

Dua pilihanraya kecil dipercepatkan, waktu berkempen yang pendek, Perdana Menteri turun berkempen pada hari pertama permulaan kempen, terlalu banyak "hadiah" untuk penduduk yang menetap dikawasan pilihanraya kecil.

Ini adalah sebahagian dari senario sebenar yang berlaku dipilihanraya kecil DUN Merlimau dan DUN Kerdau.  Sebagai tambahan, kerajaan Barisan Nasional menyatakan secara positif bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan dan harga barangan juga tidak akan naik walaupun sesudah pilihanraya kecil ini.  Begitu optimis kerajaan kita dengan masa depan.  Sedangkan, seingat saya, kerajaan yang sama inilah pernah menyatakan berulang kali "Kenaikan Harga Minyak Tidak Dapat Dielakkan Kerana MALAYSIA Bukanlah Pengeluar Minyak Utama Dunia" dan "Kenaikan Harga Barangan Keperluan Bukan Dibawah Kawalan Kerajaan Sepenuhnya Kerana Harga Barangan Tertakluk Juga Kepada Faktor Sedunia".

Jadi, sejak bila kerajaan kita begitu optimis dan begitu yakin bahawa harga barangan tidak akan naik, terutamanya minyak.  Saya melihat semua kekalutan untuk mempercepatkan kedua-dua pilihanraya kecil ini adalah satu strategi untuk pihak kerajaan merebut kemenangan sebelum mengambil langkah menaikkan harga minyak, secara khususnya minyak RON95.

Bukankah kerajaan Barisan Nasional yang senantiasa mengingatkan rakyat tentang beban SUBSIDI yang TERPAKSA ditanggung akibat tidak menaikkan harga minyak.  Bukankah kerajaan yang sama juga senantiasa membuat statistik secara terperinci dan memberikan maklumat yang sangat jitu tentang tanggungan yang terpaksa dipikul oleh kerajaan untuk mengekalkan subsidi petrol dan subsidi untuk beberapa barangan keperluan lain.  Bukankah kerajaan menguar-uarkan melalui media tentang jumlah subsidi yang ditanggung untuk jangkamasa sehari, seminggu, sebulan dan setahun.  Semua perincian ini diberikan oleh kerajaan secara percuma kepada rakyat.  

Kini kerajaan yang sama menyatakan bahawa harga petrol dan harga barangan keperluan lain tidak akan naik.

Sebagai rakyat biasa dan orang kebanyakan, kita adalah golongan yang merasa dengan serta merta impak dari apa juga kenaikan pada harga petrol mahupun pada barangan keperluan lain.  Sungguh mengaibkan bila kerajaan menjanjikan bermacam insentif, laba kewangan dan bermacam-macam kebaikan kepada satu kawasan yang menghadapi pilihanraya kecil.  Ini bagaikan menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa. 

Ada orang kata setiap hari adalah hari Ibu dan setiap hari adalah hari Bapa, maknanya kita sebagai anak haruslah menghormati dan menjaga kedua ibu bapa kita dengan penuh kasih sayang pada setiap hari dan bukannya menjadikan Hari Ibu dan Hari Bapa sahaja untuk memberi layanan yang baik terhadap kedua ibu bapa kita.  Tapi ada juga individu membuat kebaikan terhadap ibu bapa mereka pada Hari Ibu dan Hari Bapa sahaja.
Sepertimana senario Hari Ibu dan Hari Bapa, kerajaan Barisan Nasional pula menyambut Hari Rakyat pada setiap pilihanraya kecil. Cuma terdapat sedikit ketidak adilan dalam meraikan Hari Rakyat oleh pihak kerajaan. Pertamanya, Hari Rakyat ini adalah untuk rakyat yang menetap dan mengundi dikawasan-kawasan yang terdapat pilihanraya kecil sahaja. Keduanya Hari Rakyat ini datang dengan syarat iaitu kemenangan harus diberikan kepada calon dari Barisan Nasional sebagai balasan.  Ketiga, perbelanjaan besar bernilai jutaan ringgit di janjikan melalui mulut untuk mengembirakan rakyat dikawasan pilihanraya kecil.  Keempat, rakyat dikawasan pilihanraya kecil dapat melihat pemimpin-pemimpin peringkat nasional tanpa perlu membuat temujanji.

Mungkin sebahagian kita terpikir, bila ada pilihanraya kecil bermacam-macam kemajuan dijanjikan dan bermacam-macam bantuan kewangan diberikan.  Adakah ini bermaksud ahli DUN dikawasan lain harus meletak jawatan atau meninggal dunia untuk membolehkan rakyat dikawasan mereka menikmati semua yang dinikmati kini oleh rakyat yang telah melalui pilihanraya kecil?

Pelik tapi benar.  Apa yang berlaku kepada Michael Jackson, berlaku dinegara kita.  Michael Jackson mati dan ramai mendapat rezeki, album mula terjual, video raptai konsert laris, lebih ramai muat turun lagu beliau melalui internet, produk yang menjaja nama beliau makin banyak dipasaran dan bermacam lagi kekayaan dinikmati oleh mereka yang masih hidup, hasil dari Michael Jackson yang telah mati.

Saya pasti ahli DUN telah berkerja keras untuk memajukan kawasan masing-masing diwaktu mereka masih hidup tapi bukan semua yang mereka minta dari kerajaan bagi kesenangan dan ketenteraman penduduk dikawasan mereka ditunaikan oleh pihak kerajaan.  Tiba-tiba bila mereka telah meniggal dunia, penduduk dikawasan ini mendapat habuan lebih dari yang diimpikan.

Maka, bukan ahli DUN yang tidak efektif, tetapi kerajaan persekutuan dan negeri yang tidak efektif dalam mentadbir negara dan negeri.  Soalannya, kalau selepas seorang ahli DUN meninggal dunia, kerajaan negeri dan persekutuan dapat memberi bermacam kesenangan kepada penduduk, kenapa perkara ini tidak dilakukan sewaktu ahli DUN masih hidup dan bekerja keras untuk membawa kebaikan kepada masyarakat setempat?

Dalam Islam, kita semua tahu, bila pemimpin tidak jujur, tidak bermoral, tidak efektif, tidak berilmu dan tidak ikhlas, maka kesenangan yang dinikmati sesuatu masyarakat itu akan kekurangan berkat dari Allah s.w.t.   Maka sebagai rakyat yang prihatin terhadap nasib yang dihadapi oleh kita semua, saya berharap umat Islam di Malaysia akan sedar akan keberkatan yang amat kita perlukan untuk menikmati kesenangan dan ketenteraman untuk jangkamasa yang panjang.  Apa gunanya duit yang bertimbun, kesenangan yang berpanjangan dan kemewahan yang melimpah ruah sedangkan terlalu sedikit keberkatan yang diperolehi.  Keberkatan akan menjadi pendinding dari Allah s.w.t. bagi melindungi kemakmuran dan ketenteraman yang ada agar kekal berpanjangan.

Fikirlah sejenak, semua janji-janji yang diberikan sewaktu pilihanraya ini diberkati atau tidak.

Ada juga ahli politik yang menampakkan kejahilan ilmu apabila meraka menyatakan bahawa negara kita akan menghadapi nasib yang sama seperti Mesir dan Libya jika PAS memerintah.  Mungkin ahli politik tersebut terlalu taksub dengan Shah Rukh Khan berada dinegeri beliau sampai lupa ilmu sejarah dan geografi.

Lihat kembali kepada pemerintahan di Mesir dan Libya.  Pemerintahan mereka ialah pemerintahan berunsurkan DINASTI.  Pemerintahan berasakan dinasti adalah pemerintahan berunsurkan kuku besi atau pemerintahan tidak berparlimen.  Sesetengah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan berdinasti mempunyai parlimen tetapi parlimen mereka bertindak sebagai "orang suruhan" kepada pemerintah dan bukan untuk mentadbir rakyat. Jadi bagaiman negara kita akan menjadi seperti Mesir dan Libya jika PAS mentadbir?  Bukankah PAS adalah sebuah parti berperlembagaan dan bukannya sebuah dinasti.  Bukankah PAS memperjuangkan Islam yang sederhana, sedangkan pemerintahan Mesir dan Libya mempertahankan pemerintahan "Authoritarian".  Bagi mereka yang tidak tahu apa itu pemerintahan "Authoritarian", secara ringkasnya pemerintahan "authoritarian" mementingkan seorang pemimpin, mengagungkan pemimpin tersebut dan pemimpin tersebut tidak mengiktiraf individualisme rakyat dan demokrasi.  Ada juga sebahagian pemerintah yang melaksakan pemerintahan "authoritarian" ini sebenarnya tidak pernah dipilih oleh rakyat negara mereka.  Meraka selalunya melantik diri mereka sendiri atau dilantik oleh  mereka-mereka yang berkepentingan. Ada juga yang melantik diri mereka sebagai pemerintah  selepas berlaku revolusi ataupun pembunuhan terhadap pemimpin terdahulu dari mereka.  Sebahagian pemimpin "authoritarian" ini tidak sempat menyerahkan takhta pemerintahan kepada ahli dinasti mereka sebab telah disingkirkan oleh rakyat yang sudah sedar tentang hak mereka yang dipermainkan selama ini.

Jadi soalan saya kepada ahli politik Malaysia yang manyatakan Malaysia akan menjadi seperti Mesir dan Libya sekiranya PAS memerintah, BAGAIMANA?  Bagaimana Malaysia akan menjadi seperti Mesir dan Libya sedangkan PAS melaksanakan sistem pemerintahan berdemokrasi, berparti dan berparlimen.  Mungkin ahli politik itu menggunakan taktik mewujudkan ketakutan dijiwa rakyat untuk menolak PAS kerana dia tahu yang PAS sangat kurang kepincangan.

Janganlah kita mendusta sesama kita untuk mendapat secebis kesenangan di dunia ini yang tidak akan kekal.  Janganlah kita memfitnah untuk menjatuhkan maruah seseorang atas dasar perjuangan politik.  Politik cuma satu cabang dalam kehidupan tetapi ianya bukan satu ketetapan.  Ketetapan yang hakiki ialah Taqwa dan Iman.

Taqwa diDahulukan , Iman diUtamakan

1 comment: