Friday 4 March 2011

Karam Singh Walia

Sejak mengikuti blog Mazidul, saya mula membaca beberapa topik yang menarik  yang terkandung dalam blog beliau.  Satu daripada topik yang menarik minat saya ialah berkenaan Karam Singh Walia.  Mazidul sendiri menerangkan bahawa Karam Singh adalah seorang individu yang menghormati semua orang dan tidak pernah mengguris hati sesiapa pun.  Mazidul sudah mengenali Karam Singh hampir 15 tahun.  

Video yang dipaparkan diinternet tentang Karam Singh menghina orang melayu cuma beberapa minit.  Perkenalan Karam Singh dengan Mazidul adalah selama 15 tahun.  Dengan mudah saya boleh katakan yang saya lebih percaya kepada Mazidul jika dibandingkan dengan video terbabit.  Kenapa?  Kenapa saya percayakan Mazidul sedangkan video itu kononnya memaparkan Karam Singh seolah-olah telah menghina orang Melayu?

Jawapannya mudah.  Datangnya dari mulut ibu saya satu nasihat sejak saya berumur 9 tahun lagi.  "Untuk menjadi seorang yang baik adalah sukar, untuk mengekalkan kebaikan itu adalah lebih sukar tetapi yang paling sukar ialah untuk meyakinkan orang lain bahawa kita sememangnya baik."

Nasihat kedua "Jangan sesekali kita berpura-pura berbaik dengan seseorang, kerana kepuraan adalah seperti lakonan yang akan terhenti juga dan pada waktu itu kita akan kehabisan babak untuk dilakonkan".

Banyak lagi nasihat yang telah diberikan oleh kedua ibu bapa saya.  Disini saya rasa kedua -dua nasihat seperti yang tercatit diatas adalah relevan. Saya tahu amatlah sukar untuk seseorang berlakon/berpura-pura selama 15 tahun.  Jadi saya percaya Mazidul lebih mengenali Karam Singh.  Justeru apa yang berlaku sepertimana yang dipaparkan diinternet adalah sesuatu yang semua orang boleh dan harus maafkan.  Jangan mengadili seseorang bagi keburukan yang dilakukan untuk beberapa minit.  Adili orang itu dari sudut hati dan bukan dari sudut pandangan mata dan pendengaran telinga.

Saya pernah berjiran dengan sebuah keluarga Punjabi semasa saya membesar di Kampung Baru, Kuala Lumpur.  Saya panggil mereka keluarga Harjith (sempena nama anak mereka Harjith Singh). Saya memasuki tadika Punjabi yang terletak dalam kawasan Kuil Punjabi Thatt Khalsa Diwan.  Saya bukanlah seorang Punjabi tetapi ibu saya yang bersetuju untuk saya menghadiri tadika disana kerana dekat dengan rumah.  Diwaktu saya dialam tadika keadaan bukan seperti sekarang.  Sekarang dimana-mana ada pusat tadika dan tabika.  

Pada waktu itulah saya mengenal dengan lebih rapat budaya hidup dan disiplin yang diamalkan oleh orang-orang Punjabi.

Dipendekkan cerita, saya banyak bergaul dengan orang Melayu, Cina, India dan Punjabi sejak dari kecil lagi.  Pada waktu petang selepas balik dari tadika, saya akan habiskan masa dirumah keluarga Harjith.  Ibu kepada Harjith pandai membuat kek butter prune.  Memang best, sampai sekarang saya tak pernah lagi merasa kek butter prune sehebat itu.  Ada banyak pengalaman yang saya lalui bersama keluarga Harjith dan mungkin saya akan ceritakan dilain masa, tetapi ada satu perkara yang saya ingin kongsi bersama Mazidul, Karam Singh dan pembaca. 

Pada satu hari saya menonton wayang Hindustan John Johnny Janathan bersama keluarga Harjith dan ada satu adegan Abitabh Bachan menari dengan membawa beberapa gelas arak.  Saya bertanya kepada Harjith, memang kena minum arak ke?  Ibu kepada Harjith menoleh kearah saya, tersenyum dan memberitahu "dalam semua agama, arak adalah tidak baik, erti kata lain, diharamkan.  Cuma manusia suka mencari benda yang ditegah.  Kami sekeluarga memang tidak pernah minum arak dan adalah lebih baik menjauhi arak."

Apa yang saya kongsikan disini, saya harap dapat disampaikan sebagai suatu nasihat kepada Karam Singh Walia dan juga kepada semua masyarakat Malaysia.  Dalam agama Islam memang telah digariskan secara terperinci tentang keburukan meminum arak, tetapi saya jadikan kata-kata dari keluarga Harjith sebagai contoh kerana dari situlah kita tahu bahawa bukan orang Islam sahaja yang membenci arak.

Saya dan keluarga, termasuk anak-anak kami, sangat menyanjungi Karam Singh Walia.  Semua pendedahan yang dilakukan oleh Karam Singh dalam memelihara alam sekitar memang dihargai.  Saya dan keluarga tidak mahu melihat seorang berhati mulia seperti Karam Singh ditundukkan oleh arak.  Sekiranya benar Karam Singh tidak minum arak atau mabuk pada waktu video beliau dirakamkan, saya harap nasihat saya ini diterima pakai untuk masadepan.  Semoga Karam Singh akan terus berjuang untuk memelihara alam sekitar dan keharmonian hidup untuk masyarakat Malaysia.

KEPADA SEMUA TERMASUKLAH KEPADA ORANG ISLAM "JAUHILAH ARAK DAN ANDA AKAN TAHU BAHAWA KEHIDUPAN INI LEBIH BERMAKNA"

No comments:

Post a Comment