Tuesday 15 March 2011

TERKINI BERKENAAN RARE EARTH (TANAH JARANG)

Pusat pemprosesan Tanah Jarang yang pernah diusahakan oleh firma Jepun Mitsubishi Chemicals Ltd bertempat di Bukit Merah, Perak masih belum selesai dibersihkan dari sisa radioaktif.  Untuk makluman pembaca pusat pemprosesan ini telah ditutup hampir dua dekad yang lalu iaitu pada tahun 1992, tetapi sehingga kini sisa dan kesan radioaktif masih terdapat ditapak pusat pemprosesan tersebut.
Syarikat GeoSyntec yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, telah diberikan kontrak bernilai hampir RM300 juta untuk menjalankan tugas pembersihan pusat pemprosesan ini.  New York Times telah menyiarkan berita dengan maklumat penuh berkenaan apa yang telah dan sedang berlaku di Bukit Merah.  Termasuklah berita mengenai penduduk berhampiran pusat pemprosesan ini yang diserang leukimia, kelahiran tidak normal dan bermacam lagi masalah kesihatan.

Pihak kerajaan Malaysia telah berjaya menutup isu ini dari disebarkan kepada khalayak ramai.  Laporan dari New York Times telah dijadikan asas untuk kumpulan hak asasi manusia, aktivis alam sekitar dan parti politik pembangkang untuk mempersoalkan komitmen kerajaan Malaysia bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab diadili, tetapi pihak kerajaan Malaysia nampaknya mendiamkan diri dan Mitsubishi Chemicals bertindak "merasuah" penduduk disekitaran dengan menghulurkan USD164,000.00 kepada sekolah-sekolah yang terletak berdekatan kawasan pusat pemprosesan mereka.  

Secara lantang Mitsubishi Chemicals tidak mengambil sebarang tanggungjawab terhadap masalah kesihatan yang berlaku di Bukit Merah.  Satu faktor yang menyebabkan berlakunya masalah kesihatan ini adalah berkaitan sebuah mineral dinamakan thorium.  Thorium memang terkandung didalam Tanah Jarang dan tidak ada cara untuk mengelakkan thorium dari digali keluar dari perut bumi sewaktu proses penggalian Tanah Jarang dilakukan.

Bagi melupuskan bahan sisa radioaktif ini, kontraktor pembersihan telah meratakan sebuah bukit yang terletak dalam kawasan hutan simpan 5 kilometer dari Bukit Merah, kemudian menanam sisa radioaktif ini dan menimbus dengan tanah liat dan batuan granit setebal 20 kaki.  Bayangkan betapa bahayanya sisa ini.  Jika ianya tidak merbahaya takkan pihak yang melupuskan sisa tersebut mengambil langkah yang sebegini rupa.  

Apa yang dibimbangkan ialah apabila sisa ini telah tertimbus dibawah bumi iaitu dibukit yang telah diratakan, bahan radioaktif akan mula meresap kedalam punca air dibawah tanah.  Nampaknya pihak kerajaan, Mitsubisihi Chemicals dan GeoSyntec hanya mahukan rakyat percaya bahawa pelupusan dapat dilakukan dengan jayanya tanpa menghiraukan kesan yang akan berkalu kepada air bawah tanah dalam jangka masa panjang.

Pembersihan dan pelupusan masih belum selesai kerana masih terdapat 80,000 tong sisa radioaktif dan peralatan robotik yang perlu dilupuskan dengan menanam kesemuanya dibukit yang diratakan.  
Orang Jepun datang dan jajah Malaya, lepas tu mereka tinggalkan Malaya dengan luka dan kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Malaya pada waktu itu.  Kini orang Jepun telah membina sesuatu yang merbahaya, tinggalkan tempat itu dan lupuskan sisa bahaya ditanah kita sendiri untuk kesengsaraan generasi akan datang.

Terima Kasih kepada kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Barisan Nasional yang bersama-sama bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada penduduk diBukit Merah.

Selepas ini penduduk Gebeng, Kuantan.  Bersedialah untuk menghadapinya.

Saya akan kupas lagi tentang isu ini dalam penulisan yang lain.

No comments:

Post a Comment