Monday 30 May 2011

PERSAMAAN DIANTARA NORMAN, YURSY, AZNIL HJ. NAWAWI DAN AZWAN ALI

Saya tuliskan nama-nama individu yang mempunyai satu persamaan diantara satu sama lain.  Walaupun wajah mereka berbeza, sikap mereka juga berlainan dan mungkin tahap kejayaan mereka juga tidak sama, tetapi mereka semua mempunyai satu persamaan dan yang pastinya, mereka juga akan setuju dengan persamaan ini sekiranya mereka masih ingat akan zaman silam mereka. 

Apa persamaan diantara mereka?  Mereka semua bersekolah di Setapak High School.  Sama sekolah dengan saya diperingkat menengah.  Guru besar kami pada waktu itu adalah V. Chakravarthy, guru besar yang paling garang, paling tegas dan paling digeruni oleh pelajar-pelajar dari segenap sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor.  Merotan di waktu perhimpunan adalah perkara biasa pada waktu itu dan ada juga samseng-samseng yang pernah dibawa masuk kebilik guru besar menyatakan bahawa En. V. Chakravathy menyimpan pistol di dalam loker meja beliau (tak tahulah samada betul atau tidak, sebab saya pernah sekali sahaja masuk ke bilik beliau dan berjumpa beliau untuk mendapat pelepasan awal bercuti dihujung tahun sebab ayah dan ibu nak bawa kami sekeluarga melancung keluar negara) 

Aznil, Norman dan Azwan Ali adalah senior saya manakala Yusry adalah sama umur dengan saya dan berada ditingkatan yang sama dengan saya.  Yusry dan Norman adalah anak saudara kepada Pn. Normah yang merupakan penyelia sessi petang di Setapak High School.  Dari segi perwatakan Aznil dan Azwan memang ceria dan aktif di sekolah dalam pelbagai aktiviti.  Manakala Norman dan Yusry pula adalah dua orang murid yang paling pendiam.  Diantara kedua mereka yang paling pendiam dan susah nak dengar suara ialah Yusry, manakala Norman adalah seorang yang suka tersenyum dan peramah tetapi tidak banyak bercakap.  Kedua mereka tidak sombong.  Saya tidak nyatakan tentang Edry kerana saya tidak kenal dia dan seingat saya Edry tidak pernah bersekolah di Setapak High School.  Norman dan Yusry kemudian berhijrah ke England. 

Selepas itu saya mula nampak mereka di television setelah tertubuhnya KRU dan mereka membuat persembahan di Kuala Lumpur.  Apa pun mereka adalah individu yang sangat berbeza sewaktu di Setapak High School, sangat pendiam dan mereka memang menjadi pelajar kesukaan guru-guru.

Setapak High School telah melahirkan lebih banyak lagi orang-orang yang berkemampuan dalam bidang seni cuma saya tidak cukup megenali kesemua mereka untuk dinyatakan sepenuhnya nama-nama mereka di sini.  Kenangan di Setapak High School memang indah kerana sekolah ini merupakan juara dalam pelbagai acara dan Setapak High School adalah satu-satunya sekolah di Kuala Lumpur yang mempunyai kemudahan sukan yang lengkap iaitu 2 badang bola sepak bersaiz penuh, padang hoki, dewan badminton, gelanggang sepak-takraw dan bermacam-macam lagi kemudahan untuk olahraga.  Pada waktu itu jumlah sekolah tidaklah sebanyak sekarang dan sekolah-sekolah yang selalunya menjadi juara dalam pertandingan ialah St. Johns Institution, Setapak High School, Victoria Institution dan SM Dato Lokman. 

Selain dari kejayaan-kejayaan itu, Setapak High School juga merupakan sebuah sekolah yang dibayangi oleh kongsi-kongsi gelap dari kalangan orang Melayu, Cina dan India.  Pergaduhan diantara kumpulan-kumpulan ini adalah perkara biasa dan pergaduhan biasanya berpunca dari perkara-perkara kecil yang kekadang kita pun tak akan faham kenapa boleh diperbesarkan.  Pergaduhan berlaku bukan hanya dengan menggunakan penumbuk tetapi menggunakan besi, rantai basikal, parang dan pelbagai senjata berbahaya.

Saya pula dilantik menjadi pengawas untuk 2 tahun dan menjadi Setiausaha Pembimbing Rakan Sebaya selama 2 tahun juga.  Jawatan yang sangat mencabar untuk ditunaikan disebuah sekolah yang begitu ramai anggota samseng dan kongsi gelap.  Tetapi pada waktu En. V Chakravarthy menjadi guru besar, kebanyakan pergaduhan berlaku diluar pagar sekolah dan tidak siapa berani mengusik atau mencabar ahli lembaga pengawas kerana guru besar begitu menjaga kebajikan dan keselamatan ahli lembaga pengawas.  Saya juga pernah ditawarkan perlindungan oleh satu kumpulan kongsi gelap melalui ketua mereka dan dia beritahu kepada saya, sekiranya saya diganggu atau diugut oleh mana-mana individu atau kumpulan kongsi gelap, saya hanya perlu memberitahu kepada dia dan dia akan ambil tindakan.  Saya jenis orang berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang mereka tetapi saya tidak akan terikut dengan perlakuan yang merugikan dan tidak berdisiplin.  Mugkin kerana saya seorang yang sangat neutral maka ketua kongsi gelap ini menawarkan saya perlindungan sebegitu.  Saya cuma tersenyum dan kata kepada dia, okay, tapi saya rasa lebih selesa tak memihak kepada sesiapa.

Saya berbangga kerana sepanjang saya bersekolah di Setapak High School, En. V. Chakravarthy menjadi guru besar yang amat mementingkan disiplin sehinggalah beliau bersara.  Selepas beliau bersara kehebatan Setapak High School mula pudar dan kesinambungan terdahulu tidak dapat diteruskan akibat masalah disiplin yang makin ketara dan tidak terkawal.  Alhamdulillah, saya dapat menyudahkan zaman persekolahan saya di Setapak High School dengan jayanya dan tidak terikut dengan rentak keruntuhan disiplin kebanyakan pelajar akibat kepimpinan sekolah yang tidak tegas selepas bersaranya V. Chakravarthy.  Saya menjadi salah seorang pelajar terbaik untuk Sijil Pelajaran Malaysia.  Saya masih ingat bagaimana Cikgu Lanitha tersenyum semasa memberikan kertas keputusan SPM saya kerana sebelum itu di peperiksaan percubaan SPM saya mendapat keputusan Gred 3.  Pada peperiksaan SRP saya mendapat Gred A dan aggregate 10.  Pembelajaran saya sewaktu di tingkatan 4 dan 5 terjejas kerana saya banyak menghabiskan masa menjaga ayah saya yang sakit.  Namun Cikgu Lanitha memberitahu ayah saya sewaktu beliau datang mengambil keputusan percubaan SPM bahawa saya boleh melakukan yang lebih baik tetapi tumpuan saya nampak terganggu.  Saya jadikan itu sebagai satu pembina semangat untuk belajar dengan lebih tekun dan Alhamdulillah saya berjaya menjadi salah seorang pelajar terbaik untuk SPM.

Saya berbangga kerana saya telah dapat merasai segala kejayaan bersama pelajar-pelajar lain sewaktu zaman kegemilangan Setapak High School.  Terima kasih saya ucapkan kepada Cikgu Zahariyah, Cikgu Siti, Cikgu Lanitha, En. V Chakravarthy dan kepada semua tenaga pengajar yang telah memberikan didikan ilmu kepada saya dan rakan-rakan.  Kepada Norman, Yusry, Aznil dan Azwan, saya pasti anda juga mempunyai kenangan yang pahit dan manis sepanjang bersekolah di Setapak High School.

2 comments:

  1. Guru Besar ibarat kemudi yang menentu hala tuju sesebuah sekolah.
    Untuk diri sendiri, kitalah yang menjadi pengemudi.

    Memang menarik kenangan di zaman persekolahan!

    ReplyDelete
  2. Saya batch 2015 bangga menjadi setapakian's

    ReplyDelete