Friday 15 July 2011

Apa Yang Najib dan UMNO Tak Faham Tentang Perhimpunan BERSIH

Memalukan..itulah perkataan yang paling sesuai bagi menggambarkan situasi yang dipertontonkan oleh PDRM, KDN dan Najib.  Apa sebenarnya agenda yang cuba dipertonjolkan oleh kerajaan pimpinan BN dalam menangani perhimpunan BERSIH 2.0 dengan menggunakan pancutan air kimia dan gas pemedih mata?  Suatu perhimpunan yang sepatutnya diadakan dengan suasana yang aman telah bertukar menjadi suatu bahan cerita untuk masyarakat dunia.  Angkara siapa? Angkara BERSIH atau angkara ketidak bijaksanaan pihak kerajaan BN dan polis?

Mudah sahaja untuk mendapat jawapannya, ianya adalah angkara pihak berwajib iaitu kerajaan Malaysia pimpinan BN dan pihak PDRM yang bertindak tidak mengikut situasi dan keadaan.  Kalau nak dikatakan BERSIH adalah suatu perhimpunan yang ganas dan merugikan, kenapa tidak satu pun harta awam, atau premis perniagaan yang dipecah masuk atau di rosakkan oleh mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.  Ini membuktikan betapa professional dan ikhlasnya niat dan kehendak pihak penganjur dan ahli BERSIH 2.0 dalam menyampaikan satu mesej, iaitu untuk Malaysia memperolehi suatu pilihanraya yang BERSIH dan telus.  Itu sahaja yang diinginkan oleh mereka yang berhimpun.

Kerajaan BN pula bertindak melulu dengan mensensasikan perhimpunan tersebut dengan pengharaman BERSIH dan penggunaan kekerasan terhadap mereka yang berhimpun.  Soalnya di sini bukanlah samada kekerasan minima atau maksima tetapi ialah KENAPA PERLU GUNA KEKERASAN? Minima atau maksima kekerasan tersebut bukanlah menjadi persoalan kerana tidak ada pihak yang dapat mengukur tahap kekerasan yang digunakan dengan tepat.

Bagi seorang individu yang hidup di sebuah negara yang berdemokrasi dan berperlembagaan, apa yang dilakukan oleh BERSIH tidak harus dihalang, tetapi perhimpunan tersebut harus dilakukan dengan penyeliaan pihak PDRM.  

Sewaktu reformasi jalanan, saya pernah bertanya kepada seorang anggota FRU kenapa pukul dan menggasari mereka yang berhimpun, dan dia menjawab, sejak dia menjadi anggota FRU sejak bertahun-tahun, tidak pernah sekali pun dia mendapat peluang untuk melaksanakan tugas dia yang sebenar dan memukul orang yang berhimpun dan mogok adalah tugas FRU, maka dia merasa puas dapat melepaskan geram setelah duduk di berek begitu lama tanpa boleh melaksanakannya.

Maka pada perhimpunan BERSIH kali ini PDRM telah mendapat peluang untuk menguji senjata gas pemedih mata dan penyembur air berkimia dengan jayanya.  Rakyat yang berhimpun telah dijadikan sebagai bahan ujian untuk PDRM membuktikan bahawa semua persenjataan mereka berfungsi dengan baik.  Kekejaman tidak akan membawa kebaikan kepada negara Malaysia.  Maka kerajaan BN harus menerima kenyataan sekiranya rakyat tidak lagi mahukan mereka sebagai pemimpin Malaysia.

No comments:

Post a Comment