Friday 9 March 2012

Surat Terbuka Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim

Assalamualaikum w.b.t, Yang Berbahagia Datuk Seri,

Terlebih dahulu saya ucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah dan izin Nya, kami rakyat Malaysia masih dapat merasai sentuhan Datuk Seri dalam arena politik tempatan.  Saya juga mendoakan agar Datuk Seri dan keluarga senantiasa dalam keadaan sihat dan di lindungi Allah s.w.t. dari kemungkaran ciptaaan manusia.

Izinkan saya memperkenalkan diri sebagai seorang penganut agama Islam yang menetap di Malaysia dan mengikuti segala perkembangan diri dan keluarga Datuk Seri sejak dari waktu Datuk Seri masih di dalam kerajaan Barisan Nasional dan UMNO.  Sebagai seorang manusia biasa yang hidup dalam suasana masyarakat yang majmuk, saya telah melihat bagaimana perpaduan dan kerjasama adalah satu intipati penting dalam memperkasakan agama, bangsa dan negara.

Dalam usia muda, saya dan isteri telah menyertai gerakan reformasi dan aktif memperjuangkan kepimpinan Datuk Seri walaupun kami bukanlah sehebat, selincah pemimpin-pemimpin politik yang ulung.  Bagi kami yang penting adalah perjuangan untuk rakyat dan bukan perjuangan yang mempergunakan rakyat.  

Pada masa usia saya 21 tahun, saya bertugas sebagai "Executive Assistant" kepada pengurusan sebuah syarikat bumiputra yang aktif dalam membida dan melaksanakan kerja-kerja untuk kerajaan pusat di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional.  Pada waktu itu Datuk Seri dalah Menteri Kewangan dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.  Syarikat yang menggaji saya adalah sebuah syarikat yang diterajui oleh seorang individu yang kaya dan berpengaruh dan mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir.  Peliknya syarikat ini di kendalikan oleh seorang individu yang telah di isytiharkan sebagai muflis dan pegangan saham di syarikat tersebut di pegang oleh anak dan menantu beliau.  Beliau yang muflis masih mempunyai kereta-kereta mewah seperti Toyota Estima dan Rover, sebuah banglo mewah di Petaling Jaya dan banyak lagi kemewahan yang sepatutnya tidak dimiliki oleh seorang yang muflis.  Pada waktu itulah saya belajar bahawa Malaysia adalah tempat terbaik untuk menjadi muflis tetapi masih boleh hidup mewah asalkan ada sokongan dari orang-orang politik.

Anehnya, syarikat ini sering kekurangan dana untuk membayar gaji pekerja dan individu yang muflis ini akan mengarahkan setiausaha sulit dia untuk membuat pengeluaran tunai dari suatu akaun dan kami akan di bayar gaji secara tunai.  Kemudian bila dana syarikat sudah ada, maka duit yang didahulukan oleh individu tersebut akan di bayar balik oleh syarikat.  Semua ini dilakukan secara TUNAI.   

Pada waktu Datuk Seri menjadi pemangku Perdana Menteri (Tun berada di luar negara), sepucuk surat telah di kirim kepada pihak Datuk Seri oleh individu yang muflis ini meminta jasa baik Datuk Seri untuk mengenepikan keputusan mahkhamah yang mengistiharkan diri beliau sebagai muflis, dan saya adalah individu yang menaip surat tersebut dan saya juga menerima surat balas dari Datuk Seri berkenaan perkara ini.  Surat dari Datuk Seri adalah sangat ringkas dan tegas,  Datuk Seri telah menulis bahawa, kehakiman di Malaysia harus di biarkan neutral dan tidak dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan peribadi mereka, justeru Datuk Seri tidak dapat membantu untuk mengarahkan mahkhamah mengenepikan peristiharaan muflis tersebut.

Majikan saya memang kecewa dan marah dengan surat tersebut dan sekembalinya Tun M dari luar negara, beliau memberitahu Tun M tentang apa yang telah terjadi dan saya percaya itu adalah salah satu dari beratus atau beribu aduan yang telah di buat oleh pihak yang tidak suka akan ketegasan Datuk Seri dalam mentadbir urusan negara.  Saya percaya ketegasan Datuk Seri telah membangkitkan kebencian dan kejelekan dalam masyarakat UMNO dan Barisan Nasional yang tidak dapat menerima pendekatan yang diguna oleh Datuk Seri.  Saya pula berasa bangga bila membaca surat Datuk Seri yang menyatakan bahawa badan kehakiman tidak harus dipergunakan untuk kepentingan mana-mana pihak. 

Setelah 2 tahun bertugas di syarikat terbabit, saya meletak jawatan kerana ada sahaja perkara yang tidak kena dengan urusan dan pentadbiran syarikat dan perolehan tender.  Tekaan saya menjadi benar, setelah saya meletak jawatan, saya difahamkan bahawa syarikat telah mengambil bahagian dalam tender untuk penswastaan DOSH.  Saya juga difahamkan bahawa syarikat telah memenangi tender tersebut dan syarikat telah di serbu oleh pihak SPRM kerana mendapat aduan dari sebuah syarikat antarabangsa yang turut menyertai tender tersebut.  Yang hebatnya tentang syarikat yang pernah saya bekerja ini, kami tidak mempunyai walau seorang pun jurutera atau juruteknik tetapi telah memenangi tender ini.  Tapi itu berlaku setelah saya meletak jawatan jadi saya tidak lagi ambil peduli tentang perkembangan isu tersebut. 

Banyak lagi projek lain yang telah dimenangi oleh syarikat ini walaupun tidak mempunyai kepakaran atau kemampuan untuk melaksanakan tugas yang digariskan dalam tender.  Kami memenangi pakej infrastruktur teknologi untuk projek KLIA dan bermacam-macam projek berskala besar. Syarikat cuma bertindak sebagai penender kerana setiap kerja tender yang kami berjaya perolehi akan di sub kepada pihak lain termasuk pihak dari luar negara.
Itu adalah sebahagian dari penyelewangan dan penyalahgunaan yang saya telah saksikan dalam urusan tender. Saya percaya bukan semua perkara boleh dikendalikan oleh Datuk Seri secara sendirian, kerana terdapat terlalu ramai individu yang korup dalam pentadbiran negara, samada dulu, kini dan mungkin sampai kiamat.  Saya percaya Datuk Seri tersepit dalam situasi ini dan tidak berjaya mengubah sikap mereka yang korup ini.

Kini, Datuk Seri adalah individu yang berbeza, seorang individu yang sudah tidak berada di pihak yang mempergunakan rakyat, tetapi berada di pihak yang memperjuangkan rakyat.  Saya senantiasa percaya bahawa politik adalah suatu permainan yang akan di menangi oleh pihak yang diterima rakyat.  Penerimaan rakyat terhadap Datuk Seri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memang telah meningkat.  Penerimaan terhadap dasar-dasar yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat juga sudah mula difahami dan dipersetujui oleh sebilangan besar rakyat.  Tahniah di atas situasi ini. 

Untuk pengetahuan Datuk Seri, saya adalah seorang yang "defensive" dan sangat "observant", justeru saya melihat sesuatu perkembangan yang positif dari sudut yang berbeza-beza.  Populariti Datuk Seri dan pemimpin Pakatan Rakyat memang tidak dapat dinafikan.  Sekiranya Nurul Izzah hampir di tumbuk oleh penyokong UMNO maka ini membuktikan UMNO takut akan Nurul Izzah.  Sekiranya kita ambil perkara ini dari perspektif yang positif, UMNO berada di pihak yang rugi, jadi bayangkan sekiranya Nurul Izzah di benarkan berucap, kemungkinan besar penyokong Pakatan Rakyat akan bertambah di kubu kuat UMNO.  Ketakutan ini adalah adalah permainan emosi yang membuat penyokong UMNO menjadi liar kerana mereka tidak mampu berhujah untuk menangkis kekuatan bahasa politik yang diperkatakan oleh pihak pemimpin Pakatan Rakyat.

Semua perkembangan ini adalah positif, walaupun membabitkan isu kereta Datuk Seri di rosakkan, ceramah Datuk Seri di ganggu, pengawal peribadi Datuk Seri di cederakan dan bermacam lagi kejadian yang negatif sebenarnya menghasilkan sesuatu yang positif.  Sebagai orang politik saya percaya Datuk Seri juga sedar bahawa UMNO sebenarnya manggali kubur mereka sendiri dengan perlakuan biadap yang sebegini.  Tahniah sekali lagi kepada Datuk Seri, kerana telah berjaya mewujudkan ketakutan dalam diri penyokong UMNO dan BN yang takut akan kekalahan dan kekecewaan.

Sekiranya pihak UMNO dan BN telah melaksanakan segala urusan pentadbiran negara dengan telus dan bertanggungjawab, sepatutnya mereka tidak perlu takut akan kekalahan kerana pembangkang tidak akan punya isu untuk di ketengahkan.  Tetapi saban hari ada isu yang diketengahkan dan inilah sebenarnya kekalutan yang timbul dalam diri penyokong dan pemimpin UMNO dan BN, takut akan kalah kepada SUARA dan ASPIRASI rakyat.

Datuk Seri, bagi saya sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan pusat, Pakatan Rakyat tidak harus berbangga dengan kejaayaan itu kerana kemenangan yang sebenar adalah milik rakyat dan Pakatan Rakyat hanyalah satu mekanisma yang di pergunakan oleh rakyat untuk menumbangkan kerajaan yang mempergunakan rakyat.  Dalam erti kata lain, Pakatan Rakyat tidak menang, tetapi rakyat yang menang.  Justeru, adalah harapan saya agar semua kekalutan dan ketakburan yang terdapat dalam kerajaan BN tidak akan ada dalam kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat (sekiranya memenangi pilihanraya).

Satu lagi persoalan yang timbul dalam diri saya dan ingin saya dahulukan kepada Datuk Seri adalah, adakah Pakatan Rakyat mempunyai jumlah individu yang cukup untuk menjadi Menteri dan Timbalan Menteri? Adakah Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan untuk mentadbir dengan melantik individu yang berkaliber dan amanah dalam mengurus sebuah negara.  Ketika ini, cuma terdapat sebilangan kecil pemimpin Pakatan Rakyat yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugas di peringkat pusat dan percayalah Datuk Seri, ini adalah sebab sebenar kegagalan Pakatan Rakyat dalam memenangi majoriti dalam kerusi Parlimen pada pilihanraya yang lepas.  

Rakyat merasakan bahawa Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan mentadbir negeri tetapi tidak untuk mentadbir negara.  Salah satu sebab untuk ini adalah kegagalan Pakatan Rakyat mengenengahkan calon-calon berwibawa untuk mentadbir negara sekiranya memenangi pilihanraya peringkat pusat.  Saya percaya Datuk Seri juga akan bersetuju dengan perkara ini walaupun mungkin mulut Datuk Seri akan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat sudah cukup bersedia untuk mentadbir negara.   "Shadow Cabinet" yang di ketengahkan oleh Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang rakyat belum membiasakan diri, terutamanya bagi rakyat di luar bandar yang tidak mempunyai akses yang mendalam kepada ilmu politik dan urusan pentadbiran negara.  Apa yang mereka mahu bukanlah "shadow cabinet" tetapi calon yang berwibawa dan boleh memperjuangkan kehendak mereka.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menegur Datuk Seri dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain, anda semua terlalu taksub ingin melemahkan pihak lawan sehinggakan anda terlupa untuk meneliti dan memperkukuhkan kekuatan dalam Pakatan Rakyat.  Hanya dengan penambahan jumlah ahli yang menganggotai parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak akan mengukuhkan Pakatan Rakyat.  Mungkin penambahan ahli akan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang, tetapi bagaimana dengan era selepas kemenangan tersebut?  Adakah Pakatan Rakyat ingin mengecewakan penyokong mereka dengan mengenengahkan pemimpin-pemimpin yang kurang berwibawa untuk mentadbir negara?  Adakah Pakatan Rakyat mahukan lebih ramai/banyak KATAK dalam pengurusan negara?  Adakah Pakatan Rakyat mahu gagal dalam mentadbir kerana kekurangan pemimpin-pemimpin yang berkaliber?

Datuk Seri, sejarah dalam pentadbiran diperingkat negeri telah membuktikan bahawa kepimpinan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat sering di sabotaj dan sabotaj ini bukan sahaja dilakukan oleh pihak lawan, tetapi juga berlaku secara dalaman, seperti DURI DALAM DAGING.  Ini adalah sesuatu yang akan menjadi lebih parah bila Pakatan Rakyat menerajui kerajaan pusat.  Ketiadaan pemimpin-pemimpin pelapis yang berkaliber mungkin akan menjadi punca kejatuhan Pakatan Rakyat dan saya berharap pihak Datuk Seri memberi keutamaan kepada perkara ini.  

Datuk Seri, dalam kita cuba menggempur pihak lawan sehabis-habisan, jangan pula membuka peluang untuk percambahan pihak-pihak yang "populis" dan "opportunist" yang sudah mula bertapak dalam parti.  Kegagalan Datuk Seri sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri bukan kerana ketidak-cekapan Datuk Seri, tetapi kerana Datuk Seri terlalu sibuk mendisiplinkan pihak yang menyeleweng sehinggakan Datuk Seri telah membuka cukup ruang untuk pihak yang membenci Datuk Seri mendekatkan diri dengan Datuk Seri dan merencanakan kejatuhan Datuk Seri dalam arena politik.  Ini satu perkara yang sehingga kini tidak berubah dalam sikap Datuk Seri.  Datuk Seri masih bersikap "attacking" tanpa mengambil iktibar untuk memperkukuhkan "defence".  

Saya dan rakyat Malaysia yang mempunyai aspirasi yang sama seperti Datuk Seri, mahukan kemenangan yang berkekalan untuk Pakatan Rakyat, InsyaAllah.  Kami tidak mahu berlaku situasi di mana kemenangan di perolehi tetapi tidak dapat dikekalkan akibat kealpaan dan ketidak-seimbangan dalam "attacking, defending and governing".  

Datuk Seri, politik bukan sekadar permainan untuk menang, tetapi ianya adalah pelantar untuk rakyat menyatakan pendirian dan membentuk kemakmuran dengan izin Allah s.w.t.

Saya sedar bahawa saya cumalah seorang manusia biasa yang tidak punya ilmu setebal Datuk Seri, tidak punya kemampuan berpolitik sehebat Datuk Seri dan tidak mampu memimpin seperti Datuk Seri, tetapi saya berharap sangat agar surat terbuka ini mendapat perhatian Datuk Seri. 

Sekiranya saya ada terkasar bahasa, maka saya memohon maaf kepada pihak Datuk Seri, keluarga dan Pakatan Rakyat.  Aspirasi rakyat bukan untuk kebanggan tetapi untuk menyediakan masa depan yang baik untuk generasi akan datang.

Salam dari saya dan keluarga untuk Datuk Seri dan keluarga.

Wassalam.
tahirnisa.blogspot.com


No comments:

Post a Comment