Monday 6 February 2012

Surat Terbuka Untuk Dr. Hassan Ali

Umum sudah mengetahui bagaimana Dr. Hassan Ali kini bukan lagi berjuang menegakkan polisi parti PAS dan Pakatan Rakyat, tetapi beliau melakukan sesuatu yang segelintir dari kita rasakan tidak patut dilakukan oleh seorang tokoh terhormat seperti beliau.  Beliau ada melabelkan segelintir pemimpin di PAS sebagai PARASIT dan ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya di utarakan secara terbuka oleh seorang tokoh seperti beliau.

Beliau ada menyatakan bahawa, pemimpin-pemimpin PARASIT ini tidak lagi memperjuangkan Islam dan tidak lagi menegakkan Islam sebagai polisi utama parti PAS.  Beliau ada juga mengatakan bahawa, pemimpin-pemimpin PARASIT ini juga sudah menyimpang dari landasan utama perjuangan PAS.  Adakah beliau realistik dalam apa yang beliau katakan? Adakah beliau sedar bahawa beliau berada di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk yang menganuti pelbagai agama dan mengamalkan pelbagai budaya.

Dalam mengenali pendekatan yang terbaik untuk mempertahankan Islam di sebuah negara yang bermasyarakat majmuk adalah suatu perkara yang bukan mudah.  Pendekatan yang digunakan haruslah tidak terlalu menyentuh sensitiviti penganut agama lain.  Islam mahukan umatnya mengamalkan kesederhanaan dalam segala urusan yang dilakukan. Islam menganjurkan toleransi dalam menangani apa juga permasalahan. Islam mewajibkan pendekatan Al-Quran dan Sunnah dalam menjalani kehidupan seharian kita tetapi pada masa yang sama Islam juga melarang umatnya melampaui batasan dalam menegakkan akidah dan mengukuhkan taqwa.

Satu-satunya kaum yang dibenarkan untuk dilaknat dan ditentang habis-habisan tanpa perlu perbincangan atau belas kasihan adalah kaum Yahudi yang sememangnya dilaknat oleh Allah s.w.t.  Jadi apa pula terjadi dengan Dr. Hassan Ali yang lebih menentang pemimpin Islam di PAS dari menentang kejahilan dan kekufuran Yahudi Israel?  Apa sebenarnya yang ingin di kecapi oleh Dr. Hassan Ali yang meniupkan kekeliruan dalam hati umat Islam di Malaysia?

Sebilangan besar umat Islam di Malaysia megamalkan kehidupan yang berlandaskan logik akal, melakukan dosa dan kemudian melakukan pahala yang kononnya dapat menghapus dosa-dosa terdahulu.  Ini bagaikan sudah menjadi aktiviti rutin harian.  Bukankah Dr. Hassan Ali sepatutnya berdakwah untuk memperbetulkan umat Islam yang hanyut ini? Bukankah Dr. Hassan Ali sepatutnya berfikir sebelum berucap meyentuh sensitiviti pelbagai pihak?

Salah seorang manusia yang telah berubah dari kejahilan kepada akidah Islam yang sebenar adalah saudara Shah Kirit.  Saya kenal Kirit sejak sebelum beliau memeluk agama Islam.  Jarang kami bertegur kerana kami berada dalam syarikat yang sama tetapi bukan dalam pasukan yang sama di jabatan pemasaran.  Kirit mengetuai pasukan pemasaran di Ipoh, manakala saya pula berada di pasukan pemasaran di Kuala Lumpur. Akibat persaingan untuk mendapatkan jualan yang tertinggi, kedua-dua pasukan memang tidak banyak berkomunikasi antara satu sama lain untuk menjaga rahsia strategi pemasaran masing-masing.

Kirit adalah individu yang sangat dinamik sebagai seorang pemimpin sebuah pasukan.  Secara jujur, tidak ada seorang pun di pasukan Kuala Lumpur suka kepada beliau kerana beliau terlalu dinamik dan terlalu pandai dalam mengatur strategi pemasaran.  Tetapi itu adalah soal kerja, dari segi akidah pula sebagai seorang individu yang bukan Islam, beliau hidup dalam keadaan yang biasa di lalui oleh individu bukan Islam.  Tetapi apa yang berlaku adalah transformasi dalam penerimaan Islam sebagai tunjang kehidupan beliau.

Apa kena mengena Shah Kirit dengan Dr. Hassan Ali?  Tidak ada kena mengena, tetapi ada perkara yang Dr. Hassan Ali boleh belajar dari pendekatan yang diamalkan oleh Shah Kirit.  Dalam satu temuramah dengan wartawan, Shah Kirit menyatakan bahawa beliau mengambil masa yang lama untuk menerima Islam dan Ustaz Ali Chan adalah individu yang banyak menghabiskan masa dalam memperkenalkan Islam kepada beliau.  Ustaz Ali Chan tidak melakukannya dengan mengamalkan pendekatan keras atau fanatik, tetapi melalui pendekatan yang sederhana dan selesa.  Melalui cara ini seorang individu bernama Kirit dapat mendalami Islam yang sebenar dan kini beliau bukan hanya menganuti Islam tetapi juga berdakwah.

Shah Kirit dan Ustaz Ali Chan adalah dua individu yang tidaklah sepopular Dr. Hassan Ali, tetapi sekurang-kurangnya mereka berdua melakukan apa yang Allah s.w.t. telah sarankan dalam perlakuan urusan berdakwah iatu mengamalkan kesederhanaan dan keselesaan.  Di mana salahnya Dr. Hassan Ali? Bagi saya beliau telah salah memilih politik sebagai landasan untuk menterjemahkan hasrat beliau.  Seorang pendakwah tidak perlu menjadi ahli politik untuk berdakwah, tetapi Dr. Hassan Ali telah memilih jalan ini dan kini terperangkan dalam permainan politik yang beliau tidak ariff. 

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Seperti mana Shah Kirit mendapat hikmah dari Allah s.w.t., begitu juga ada hikmah disebalik apa yang berlaku kepada Dr. Hassan Ali, tetapi yang pastinya hikmah tersebut bukanlah berkaitan dengan politik. Nasihat saya kepada Dr. Hassan Ali, berdakwahlah untuk kesejahteraan umat Islam dan hentikanlah nilai-nilai politik dari percakapan anda.

No comments:

Post a Comment