Tuesday, 7 February 2012

A$247 Million for Phase 2 of Lynas Plant

Sesiapa yang mengikuti penulisan di blog ini dari awal berkenaan Lynas di Malaysia, pasti sudah mengetahui bahawa saya pernah menyatakan LAMP Lynas di Gebeng pasti akan beroperasi walau sebanyak mana pun tentangan yang diberikan.  Saya ada menulis, kenapa tidak kita sebagai rakyat yang menentang Lynas, melakukan tentangan dengan cara yang lebih efektif dari melakukan rusuhan dan tunjuk perasaan yang pada hakikatnya hanya memberi publisiti kepada tentangan ini tetapi tidak akan membuahkan apa-apa hasil seperti yang diharapkan.

Berfikiran rasional, bijak dan melaksanakan penentangan secara strategik adalah keperluan utama dalam menangani isu-isu seperti ini.  Setiap hari saya membaca tentang tentangan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia terutamanya rakyat Kuantan dan saya masih berpendapat semua penentangan ini cuma membuahkan publisiti secara nasional ataupun global, tetapi hasilnya akan tetap berpihak kepada Lynas dan kerajaan Malaysia.

Apa yang berlaku sekarang ini adalah suatu drama yang telah tersusun rapi dengan penulis skrip, pengarah, penerbit, pelakon yang datangnya dari pihak Lynas dan kerajaan Malaysia.  Dalam drama ini setiap babak di ketengahkan secara sistematik satu persatu, bagi menggambarkan bahawa semua yang berlaku ini tidak dirancang dari awal.

Dokumen yang saya lampirkan bersama penulisan saya ini akan membuktikan bahawa Lynas sudahpun mempunyai dana yang cukup untuk pembangunan fasa kedua LAMP dan Mount Weld.  Dana ini sudah lama tersedia, sejak sebelum lesen beroperasi dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia.  Kewujudan dana ini sudah tersenarai secara rasmi dalam pembentangan laporan kewangan Lynas pada tahun 2011. JP Morgan dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation sudah pun menandatangani perjanjian pembiayaan untuk Lynas. Adakah semua ini akan berlaku sekiranya pemberian lesen masih "samar-samar". Perjanjian pembiayaan ini berlaku pada tahun 2011.

Kenapa kita masih berjuang dengan cara yang tidak akan membuahkan hasil.  Satu-satunya cara untuk menyingkirkan Lynas dari bumi Malaysia adalah untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat negeri atau pun pusat.  Ini dapat membantu untuk mengubah dasar kerajaan dan dapat memberi tekanan kepada pihak Lynas dan memberi kekangan terhadap rancangan mereka untuk menjayakan fasa kedua projek LAMP ini.

No comments:

Post a Comment