Thursday, 10 May 2012

NASIB SEORANG INSAN

Pernah suatu ketika dulu saya rasa berbangga dengan kerajaan Malaysia yang amat mementingkan pembangunan secara total tanpa mengenepikan kemakmuran dan perpaduan yang sedia wujud dikalangan rakyat jelata.  Tetapi mungkin pada waktu itu saya kurang memahami istilah berpolitik atau tidak berapa berminat untuk mendalami salasilah politik negara.

Kini setelah mengenali politik dan hidup dalam suasana masyarakat yang mulai sensitif berkenaan sesetengah perkara, saya mula memahami bahawa kehidupan tidaklah begitu indah, kemakmuran tidaklah begitu kukuh dan pemuafakatan antara kaum sebenarnya sudah mula tiada nilai.  Bangsa dan negara adalah dua perkara yang menjadi perdebatan hampir setiap hari.  Persoalan siapa empunya negara Malaysia ini sentiasa menjadi perbualan dan sering mencetuskan polimik politik yang tidak sihat dan bakal menghancurkan saki baki kesejahteraan dan keselamatan sosial yang sedia wujud dalam masyarakat kita ini.

Adakah Malaysia ini milik bangsa Melayu? Adakah Malaysia ini milik penganut agama Islam? Adakah Malaysia ini milik bangsa lain? Adakah Malaysia ini milik penganut agama lain?  Adakah politik itu hak tunjang orang-orang Melayu?  Adakah pemuafakatan itu bukan lagi suatu intipati yang menjamin keselamatan sosial?  Persoalan-persoalan ini dijawab dalam pelbagai nada dan bahasa.  Apa juga jawapan yang diberi, kita tidak sedar bahawa kesemua persoalan di atas adalah tidak relevan untuk menjamin kewujudan suatu negara yang aman dan progresif.

Selama Malaysia mencapai kemerdekaan, kita hidup dalam suasana masyarakat yang majmuk.  Kita menjadikan jiran dan kawan sebagai penyeri kehidupan dengan berkongsi adat, budaya dan perayaan.  Kita menjadikan pemuafakatan itu suatu istilah yang mudah difahami dan dituruti.  Kita menjadikan keselamatan sosial sebagai suatu kewajipan yang perlu dipelihara.  

Tetapi itu dulu, dulu yang tidak akan kembali kepangkuan kita. Soalnya kini, adakah semua yang tertulis berkenaan masyarakat majmuk, penyeri kehidupan, pemuafakatan dan tanggungjawab keselamatan sosial itu masih menjadi amalan kita pada hari ini?  Yang menjadi amalan adalah "angin perubahan".  Angin perubahan yang melanda suasana politik di negara kita ini dijangka akan membawa tsunami politik yang hebat.  Dikatakan juga angin perubahan ini dapat membina bangsa yang lebih gagah dan berani mempertahankan maruah negara.  Benarkah ini telah dicapai?

Yang saya lihat, angin perubahan ini telah bertiup ke arah yang salah, ianya telah mewujudkan bangsa yang berani tetapi penuh keegoan, penuh ketakburan, penuh kehancuran.  Siapa kata tiupan angin boleh dikawal oleh manusia?  Hanya Allah s.w.t. boleh mengawal sesuatu itu.  Maka manusia meniupkan angin perubahan kemudian membiarkan angin itu bertiup di luar kawalan.  Angin perubahan ini telah menjadikan kita sebuah masyarakat yang tiada maruah, kurang pintar, tiada kesopanan, lupa daratan dan  melayan keegoan yang melampaui batasan.

Saya tidak suka kehidupan yang terdapat didepan mata kita ini.  Saya tidak suka kepada cerita-cerita yang terbit membunuh maruah dan jati diri individu, keluarga dan masyarakat.  Saya tidak suka kepada berita yang memanaskan telinga untuk dijadikan bahan melayan nafsu politik yang sempit.  Saya tidak suka kepada suasana masyarakat yang sudah tidak kenal peri pentingnya perpaduan.  Saya tidak suka kepada keadaan dimana kerajaan diterajui oleh puak-puak yang bermain dengan nasib dan emosi mereka yang kurang berkemampuan.  Saya tidak suka rakyat dijadikan boneka pertunjukan yang tidak berkesudahan.  Saya tidak suka kepada masyarakat yang tidak peduli peri pentingnya iman dan Islam.  Saya tidak suka kepada kerajaan yang berbangga dengan binaan masjid tetapi tidak tahu mengimarakkannya.  Saya tidak suka kepada suasana dimana ulama digelar sebagai bapa kekafiran.  Saya tidak suka kepada suasana orang Islam memakan duit hasil yang haram dan mengembangkan salasilah keluarga berdagingkan dan berhatikan syaitan yang penuh durjana.

Saya tidak mengatakan semua ini tanpa melihat apa yang berlaku di persekitaran.  Individu manapun akan bersetuju tentang kerapuhan iman dan keruntuhan perpaduan dalam masyarakat kita kini.  Hanya mereka yang buta hati tidak akan dapat melihat semua ini.  Bagi mereka yang mengaut keuntungan melalui keruntuhan akhlak dan keruntuhan perpaduan antara kaum, sudah pasti mereka ini akan terus memperjuangkan kemusnahan yang lebih ketara.  Syarikat yang membuat senjata tidak akan kata senjata itu berbahaya, tetapi mereka akan kata senjata itu untuk mempertahankan diri sewaktu dilanda bahaya, tetapi adakah mereka mengambil langkah untuk memastikan senjata itu tidak digunakan untuk tujuan yang berbahaya?  Itu bukan tugas mereka, tugas mereka adalah sekadar bercakap manis di mulut untuk menunjukkan bahawa "mereka kisah".  Begitu jugalah kepada pihak pemimpin samada di belah parti memerintah ataupun parti pembangkang.  Semuanya melakukan kemusnahan untuk kepentingan peribadi tetapi beralasankan untuk kesejahteraan rakyat jelata.

Berapa ramai pemimpin yang tahu apa makna iman dan Islam yang sebenar? Berapa ramai pemimpin hormat "rakyat jelata"? Berapa ramai pemimpin tahu apa makna perpaduan?  Berapa ramai pemimpin tahu apa makna keselamatan sosial?  

Samada kita ini diperbodohkan atau kita memang sudah tersedia bodoh untuk digulakan oleh mereka-mereka ini.  Hidup bukan untuk keduniaan semata-mata tetapi adalah untuk menemui Allah s.w.t. di akhirat yang hakiki.  Hidup bukan untuk dijadikan medan peperangan yang menghiburkan dan menguntungkan, tetapi hidup adalah untuk mengumpul untung dan rugi kerohanian untuk dibawa sebagai bekal sebelum dipersembah dihadapan Allah s.w.t.  Hidup bukan suatu permainan yang tidak punya penyudah, tetapi hidup ini akan berkesudahan dengan kesudahan yang tidak akan dapat disangkal oleh mana-mana hamba Allah s.w.t.  Kita akan hancur, akan kembali kepada Allah s.w.t. untuk dipertontonkan kebaikan kita, keimanan kita, kekufuran kita, kedaifan kita, kejahatan kita dan segalanya yang Allah s.w.t. ingin dipertontonkan.  Kita pula akan dapat menonton samada kemurkaan Allah s.w.t. ataupun kemaafan dan kasih sayang dari Allah s.w.t.  yang menjadi bekal kita sepanjang kehidupan di dunia yang tiada kesudahan dan tiada kehancuran.

Ya Allah ampunkan hamba Mu yang sering menguji kesabaran Mu dan izinkanlah kami manjadi hamba Mu yang dapat mencium wangian syurga Mu yang abadi.

No comments:

Post a Comment