Sudah lama saya tidak membaca email dan juga tidak menjenguk blog tahirnisa. Sakit lama datang kembali justeru saya berehat untuk beberapa ketika. Hari ini dapatlah saya membaca email dan agak menghairankan bila saya membaca komen seorang pembaca blog tahirnisa yang memberikan komen berkenaan penulisan saya bertajuk "Antara Pengemis dan Orang Politik...". Penulisan saya berkenaan tajuk tersebut merupakan sesuatu yang sudah sebati dalam diri saya sejak dari kecil lagi. Sesuatu yang saya tuliskan bukanlah sekadar untuk "tangkap-muat" bagi meraih populariti. Bila saya membaca komen Damak, saya merasakan bahawa Damak merasakan yang penulisan saya tidak mempunyai kebenaran.
Saya menghargai komen dari Damak, tetapi saya merasakan bahawa, Damak melihat isu ini dari sudut yang berbeza. Mungkin Damak seorang ahli politik, penyokong ahli politik dan penokong sesebuah parti politik. Bagi saya apa dan siapa Damak bukanlah suatu isu, tetapi pandangan Damak berkenaan pengemis yang dipandang lebih rendah martabat dibandingkan dengan ahli politik adalah sesuatu yang sedikit mengguris hati saya. Pandangan Damak bahawa ahli politik membina Masjid dan Surau juga amat mengelirukan dan saya juga merasakan Damak kurang faham berkenaan tanggungjawab kepimpinan dalam berpolitik.
Kenapa saya masih mengatakan bahawa pengemis adalah lebih mulia dari ahli politik? Pengemis yang saya maksudkan dalam penulisan saya bukan hanya orang-orang yang mengemis ditepian jalanan, tetapi saya juga memaksudkan mereka-mereka yang daif dalam kehidupan dan memerlukan bantuan dari masyarakat umum. Sekiranya "ahli politik" menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah, adakah akan ada kedaifan yang memungkinkan individu menadah tangan meminta simpati dari masyarakat umum? Sekiranya "ahli politik" menjalankan segala tugasan sebagai pemimpin bangsa dan negara dengan penuh kejujuran, adakah akan wujud jurang yang begitu besar antara orang kaya dan orang miskin? Sekiranya "ahli politik" benar-benar tidak tidur malam dan asyik memikirkan tentang apa kebaikan yang mereka hendak lakukan kepada masyarakat setempat, adakah masih akan ada kampung-kampung yang tidak mempunyai air dan tenaga elektrik?
Banyak lagi isu yang saya boleh persoalkan berkenaan "ahli politik". Namun yang paling menarik perhatian saya berkenaan komen yang diberikan oleh Damak adalah, saya (tahirnisa) tidak tahu bersyukur dengan adanya "ahli politik" yang membina Masjid dan Surau untuk kita bersolat dan mengejar pahala. Saya rasa penulisan Damak ini dalam mempersoalkan kesyukuran adalah sesuatu yang keterlaluan. Kenapa perlu mempersoalkan kesyukuran dalam isu ini sedangkan membina Masjid dan Surau adalah suatu tanggungjawab muslim yang berkemampuan. Sebagai pemimpin dan ahli politik, memang menjadi tanggungjawab mereka untuk mendapatkan peruntukan bagi membina Masjid dan Surau. Kalau itu-pun mereka tidak dapat lakukan, mereka bukan hanya akan menerima balasan dari umat Islam di dunia ini, bahkan akan menerima pembalasan yang setimpal dari Allah s.w.t. Adalah lebih tepat untuk saya katakan bahawa ahli politik yang seharusnya bersyukur kerana negara dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan rezeki yang melimpah dan rakyat yang berkerja keras dan membayar zakat yang membolehkan urusan pembinaan Masjid dan Surau dilaksanakan oleh ahli politik dengan mudah. (saya hanya menyebut pembayaran zakat dan tidak menyatakan pembayaran cukai kerana sekiranya Masjid dan Surau dibina dengan duit hasil pendapatan cukai maka akan menjadi Haram untuk kita bersolat didalamnya kerana cukai yang dikelolakan di Malaysia berunsur riba dan turut membabitkan pembayaran cukai dari perniagaan yang berunsur maksiat, riba, perjudian dan lain-lain yang diharamkan bagi umat Islam).
Saya akan bersyukur sekiranya ahli politik dapat mengimamkan solat, mengimarakkan Masjid dan Surau dengan aktiviti-aktiviti yang membina keutuhan ummah dan perpaduan rakyat, mendahulukan Islam, Allah dan Rasulullah dalam segala urusan yang dijalankan, menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam mengurus dan memimpin dan juga menjaga kesucian dan keagungan Islam yang tercinta. Adakah semua ini disentuh oleh Damak? Mana yang lebih penting? Walaupun membina masjid dan surau adalah penting, namun yang lebih penting ialah mengimarakkan Masjid dan Surau?
Kata-kata Damak berkenaan ahli politik membina Masjid dan Surau memberi peluang untuk kita merebut pahala samalah seperti orang yang membeli Al-Quran yang cantik-cantik dan mahal, tetapi tidak tahu menghafaznya. Adakah ini dinamakan pahala? Kenapa bukan ahli politik yang menjadi imam? Kenapa tidak ahli politik yang memimpin aktiviti-aktiviti keagamaan di Masjid-Masjid dan Surau? Kepada Damak, jangan jadikan urusan agama yang memang WAJIB dilaksanakan oleh seorang pemimpin itu sebagai sesuatu yang rakyat harus jadikan sebagai ukuran keperibadian seseorang pemimpin atau ahli politik. Saya kenal ahli politik yang minum arak sampai mabuk tetapi pada keesokan hari hadir ke masjid untuk bersolat.
Kata-kata sinis Damak berkenaan pengemis yang diibaratkan sebagai Ibrahim Libya di Memali amatlah tidak wajar. Pengemis adalah pengemis, penipu bukan pengemis dan pengganas juga bukan pengemis. Jangan membangkitkan isu tabung Memali yang dikatakan hilang begitu sahaja, kerana banyak lagi tabung yang dikelola oleh pemimpin dan ahli politik sering disalah urus. Kewangan negara yang diuruskan oleh Menteri Kewangan dan Kabinet juga merupakan suatu tabung yang diamanahkan oleh rayat untuk diurus dengan jujur, amanah dan berhemat. Adakah tabung tersebut diurus dengan Jujur? Amanah? Berhemat? Kalau memang diurus dengan jujur, amanah dan berhemat, kenapa timbul laporan-laporan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang menegur dan mempersoalkan pengurusan dan perbelanjaan yang tidak ditadbir dan tidak diurus dengan baik?
Banyak lagi yang saya boleh huraikan berkenaan isu ini tetapi buat masa ini cukuplah sekadar ini. Bagi Damak yang menegur saya sebagai berpemikiran "sempit", kamu ukur dulu kesempitan laluan kehidupan yang Allah s.w.t. rencanakan untuk kamu. Semua manusia akan melalui laluan itu dan kamu tidak terkecuali.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete