Saya tertarik untuk menulis berkenaan topik ini apabila sejak akhir-akhir ini timbul pelbagai isu berkenaan agama dan bangsa. Isu-isu ini pula adalah begitu sensitif kepada pemuafakatan dan hubungan erat diantara agama dan kaum. Tetapi nampaknya terdapat individu yang seronok memperlekehkan isu-isu ini dengan menambahkan kesakitan kepada luka yang sudah tersedia.
Sebagai permulaan mari kita singkap siapa yang telah memulakan isu agama dan perkauman secara tidak langsung dan menyebabkan berlaku perpecahan dalam kemakmuran dan keharmonian diantara kaum di Malaysia. Perbuatan seorang individu yang begitu penting dalam pembinaan negara Malaysia yang maju dengan membuat pengiktirafan yang tidak munasabah dan tidak benar terhadap negara Melaysia, adalah titik tolak sebenar wujudnya puak-puak yang mengeksploitasikan isu agama dan toleransi antara kaum.
Individu yang saya maksudkan ialah Tun Dr. Mahathir bin Mohamed. Individu ini adalah seorang yang memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun dan kemudian pada September 2001 beliau telah melakukan sesuatu yang tidak siapa jangka dan beliau melakukannya atas dasar untuk melukakan PAS dan mereka-mereka yang menyokong Islam melebihi politik. Beliau dengan rasminya telah mengistiharkan negara Malaysia adalah negara Islam. Beliau telah mengulangi pernyataan ini di media dan juga semasa menghadiri mesyuarat anggota Parti Gerakan yang dihadiri delegasi dari seluruh Malaysia. Apa yang telah berlaku selepas peristiharan ini adalah apa yang kita lihat sekarang.
Tahun demi tahun, wujud individu dan pertubuhan yang memperjuangkan hak sesuatu kaum, sesuatu agama dan sesuatu masyarakat. Masing-masing bimbang dengan keadaan yang boleh manjadikan mereka sebagai sasaran sesetengah pihak yang ingin merialisasikan Malaysia sebagai negara Islam. Apa yang diistiharkan oleh Tun dimesyuarat Gerakan adalah sama sekali bertentangan dengan kontrak sosial yang wujud antara kaum, bertentangan dengan deklarasi Merdeka pada tahun 1957, bertentangan dengan Perjanjian Pembentukan Negara Malaysia pada tahun 1963, bertentangan dengan rukun negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 dan bertentangan dengan Visi 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991.
Terlalu banyak perjanjian dan deklarasi yang wujud di Malaysia yang tidak memungkinkan Malaysia menjadi Negara Islam. Apa yang Tun telah lakukan adalah memperlekehkan institusi pemerintahan yang sedia ada pada waktu itu dengan mengambil langkah mudah dan kurang bijak dengan mengistiharkan sesuatu yang sememangnya tidak wujud. Pembentukan sebuah negara Islam pada tahun 2001 sedangkan pemerintahan Barisan Nasional adalah berlandaskan fahaman sekular yang didalangi pengaruh British dan kebaratan.
Tunku Abdul Rahman telah menyatakan pada majlis hari lahir beliau yang ke 80, “not to turn Malaysia into an Islamic State”.
Jelas bahawa dari segi peruntukan perlembagaan dan kontrak sosial yang wujud di Malaysia, Malaysia bukan dan tidak mungkin menjadi negara Islam. Perlembagaan dan pemerintahan sekular yang dilaksanakan adalah jelas membuktikan bahawa Tun telah mewujudkan satu situasi yang mengelirukan diantara agama dan kaum di Malaysia akibat dari tindakan beliau mengistiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Akibatnya ditanggung oleh kita sehingga kini.
Tun pula dengan senang lenang masih memberikan komen-komen pedas beliau berkenaan isu-isu yang ditimbulkan oleh pelbagai individu dan kelompok. Isu berkenaan agama ini adalah sesuatu yang memerlukan toleransi dan seorang pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya membuat sesuatu pengistiharan atas tujuan jangka pendek iaitu bagi melumpuhkan pengaruh PAS dalam isu mewujudkan negara Islam.
Tun adalah seorang pemimpin sekular yang berfikiran dengan logik akal dan beliau telah melaksanakan kebanyakan polisi dibawah pemerintahan beliau dengan mangambil kira pemikiran logik akal. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana Tun membuktikan fahaman sekular beliau dan betapa beliau percaya kepada logik akal. Tun pernah membuat kenyataan dimedia " Dulu masa zaman Nabi Muhammad mana ada pisau cukur sebab tu dia orang tak cukur janggut, jadi dia orang simpan janggut bukan sebab Islam tapi sebab tak ada pisau cukur". Kenyataan ini dikeluarkan beliau bila timbul isu tentang pihak-pihak yang menyatakan Tun berfahaman sekular. Tetapi dengan mudah saya boleh menyangkal kenyataan Tun. Di Dalam Al-Quran yang telah diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa rukun haji termasuk bercukur rambut, sebelum kemasjid untuk berjemaah sembahyang Jumaat bersihkan diri dengan bercukur, disunatkan mencukur rambut bayi pada hari ke 7 kelahiran dan pelbagai lagi arahan dan amalan tentang bercukur yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis.
Perkataan "CUKUR" ini telah wujud sejak zaman Rasullullah lagi. Cuma perkakas yang digunakan untuk bercukur bukanlah pisau cukur Gillette atau Schick. Terbukti fahaman sekular yang kuat terdapat pada pemimpin-pemimpin diperingkat nasional mahupun negeri dan inilah faktor yang menyebabkan perbuatan Tun mengistiharkan Malaysia sebagai negara Islam mendapat reaksi yang memecahbelahkan keharmonian antara kaum sehingga waktu kita sekarang ini.
Firman Allah s.w.t.,
"Sesungguhnya Allah telah membenarkan Rasul-Nya (dalam) mimpinya dengan kebenaran (iaitu) demi seseungguhnya kamu akan ke Masjidil Haram insya Allah ( jika dikehendaki Allah) dengan aman sentosa serta bercukur dan menggunting (rambut) kepalamu tanpa takut sedikit pun" (Surah Al- Fath ayat 27)
Sikap kepuraan-puraan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan pemimpin -pemimpin pembangkang yang berfahaman sekular inilah sebenarnya musuh dalam selimut bagi rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment