Wednesday 28 March 2012

ANTARA PENGEMIS DAN ORANG POLITIK

Semalam seorang kawan bertanya kepada saya, sekiranya saya didatangi oleh seorang pengemis dan seorang ahli politik secara serentak dan kedua-dua mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan saya secara serentak, tangan siapa akan saya sambut untuk bersalaman?

Jawapan saya mudah je...."tangan pengemis".  Lalu kawan saya bertanya kenapa dan saya senaraikan alasan-alasan kepada soalan tersebut :-

  • Pengemis akan memberi salam dengan nada yang ikhlas manakala orang politik akan memberi salam dengan nada yang penuh kebanggaan.
  • Pengemis akan bekerja untuk kita manakala orang politik akan membuat kita bekerja untuk dia.
  • Pengemis akan meminta sedikit wang dari kita manakala orang politik akan sentiasa nak kaut semua wang kita.
  • Pengemis yang palsu cuma akan menipu bahawa dia miskin manakala orang politik akan menipu dalam segalanya
  • Pengemis akan mendoakan kita setelah kita menolong mereka manakala orang politik akan mengharapkan kita mendoakan dia senantiasa
  • Kita nampak pengemis tetapi orang politik akan nampak kita sebagai pengemis
  • Malaikat boleh menjelma sebagai seorang pengemis tetapi tidak akan menjelma sebagai seorang politik
  • Pengemis akan hidup dalam kedaifan manakala orang politik akan hidup penuh kemewahan
  • Pengemis tidak miskin kasih sayang manakala orang politik miskin kasih sayang
  • Pengemis tidak mahu publisiti tetapi orang politik gilakan publisiti
  • Pengemis suka diam manalaka orang politik asyik melalak
  • Pengemis tahu mengenang budi manakala orang politik dah lupa erti budi
  • Pengemis akan pergi jika kita halau mereka manakala orang politik pula akan halau kita

Justeru orang politik akan melayan kita seperti pengemis yang mengemis dari mereka untuk segala yang kita mahu mereka perjuangkan untuk kita..."tetapi bukankah orang politik yang sama inilah MENGEMIS undi dari kita pada suatu masa dahulu?"

Tuesday 27 March 2012

LYNAS TIDAK AKAN MENIPU PEMEGANG SAHAM MEREKA

Lynas adalah suatu isu yang masih hangat diperkatakan, selagi mereka bertapak di Malaysia, selagi itu saya akan memberi tentangan dengan mengupas dan menulis kebenaran yang mereka cuba sembunyikan.  Rakyat Malaysia memang boleh ditipu, kerajaan Malaysia juga boleh ditipu, bahkan seluruh dunia yang mengikuti perkembangan isu Lynas juga boleh ditipu oleh pihak pengurusan Lynas dan kerajaan BN.  Tetapi sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di bursa saham Australia, mereka tidak boleh menipu para pelabur yang telah membeli saham mereka.  

Dalam penyata kewangan Lynas untuk pertengahan kedua tahun 2011, dinyatakan dengan jelas bahawa Lynas mengalami kerugian hampir AUD39 juta dan kerugian ini makin lama makin meningkat kerana setakat ini Lynas tidak mempunyai sebarang perniagaan lain selain dari perlombongan dan pemprosesan nadir bumi.  Bagi sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran saham sesebuah negara, untuk mempunyai hanya satu perniagaan, adalah amat berisiko tinggi kerana sekiranya perniagaan yang mereka terajui ini gagal, maka keseluruhan perniagaan mereka akan gagal.  Mereka tidak mempunyai perniagaan sokongan untuk memberi imbangan kepada pendapatan syarikat.

Lynas perlu memastikan kilang LAMP mereka di Gebeng beroperasi seperti yang dijadualkan dan sekiranya ini gagal dilaksanakan, maka bukan sahaja Lynas akan lingkup, tetapi pemegang saham juga akan kerugian.  Dalam situasi yang sebegini, Lynas tidak ada pilihan lain selain menjadikan operasi LAMP di Gebeng suatu kenyataan.  Dari aspek ekonomi dunia pula, pengeluaran nadir bumi melalui LAMP di Gebeng akan menghasilkan hampir 30% dari keperluan mineral nadir bumi dunia.  Syarikat-syarikat yang mengusahakan pembuatan barangan berteknologi tinggi sudah hampir boleh menarik nafas lega kerana pengeluaran dari LAMP ini akan membolehkan harga mineral nadir bumi dunia jatuh ke paras yang lebih realistik.

Kerana ini jugalah World Trade Organisation (WTO) menjadikan negara China sebagai sasaran dalam menekan mereka untuk meliberalisasikan pengekspotan nadir bumi ke negara luar.  Kini China menguasai hampir 90% pasaran dunia dan kerajaan China telah mengenakan syarat-syarat yang remeh-temeh terhadap pengekspotan nadir bumi ke negara luar.  Ini menyebabkan Amerika Syarikat merasa tidak selesa dan mengambil inisiatif melalui WTO untuk menekan China.  Tetapi tekanan ini tidak akan menganggu kerajaan China dalam menguasai pasaran dunia dan kerana inilah sebagai pelan jangkamasa panjang WTO menyokong penuh pembinaaan dan operasi LAMP Lynas di Gebeng.  Gebeng kini lebih terkenal dimata dunia kalau dibandingkan dengan Melaka dan Langkawi.

Apabila Lynas menyatakan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa pengeluaran dan pemprosesan nadir bumi di Gebeng tidak merbahaya kepada hidupan dan alam sekitar, sejauh manakah kebenarannya?  Ada yang percaya dengan apa yang dikatakan Lynas dan ada juga yang tidak percaya.  Kalau ditanya kepada saya, sudah pasti saya akan katakan bahawa saya langsung tidak percaya kata-kata pengurusan Lynas dan kerajaan BN tentang betapa selamatnya pemprosesan nadir bumi ini.

Lynas boleh menipu kita, Lynas boleh menipu sesiapa sahaja, tetapi mereka tidak boleh menipu pemegang saham mereka.  Lynas tidak boleh memberikan maklumat yang tidak tepat kepada pemegang saham, Lynas harus memberikan perincian yang tepat tentang kedudukan kewangan, pasaran, unjuran pendapatan dan tidak terkecuali risiko perniagaan.  Semua ini harus dilakukan oleh Lynas untuk mengelakkan diri mereka didenda atau disaman oleh pengendali pasaran saham Australia dan oleh pemegang saham sekiranya berlaku kerugian dalam pendapatan.

Ini adalah situasi seperti seorang penjual insuran atau agen pelaburan ekuiti menyatakan banyak perkara yang baik tentang membeli polisi insuran dan pelaburan ekuiti, tidak ada satu apa pun yang tidak baik dan tidak pula mereka akan nyatakan tentang risiko.  Kita perlu membaca polisi/prospektus yang ditawarkan dan apa yang tertulis dalam polisi/prospektus itulah yang benar dan termaktub dalam pembelian dan pelaburan insuran atau ekuiti.  Justeru apabila kita hendak tahu samada Lynas berbohong atau tidak, maka kita perlu rujuk dokumen yang Lynas lampirkan ke "Australian Stock Exchange", pelabur dan institusi kewangan.

Saya lampirkan dibawah ini Akaun Tahunan bagi penggal kedua tahun 2011 dan penggal pertama 2011 yang menyatakan dengan jelas tentang kerugian yang ditanggung Lynas, harga saham Lynas jatuh dari AUD2.36 ke AUD0.86 (bulan Februari 2012).

Terdapat juga risiko risiko kejatuhan harga nadir bumi ke paras yang boleh menyebabkan Lynas gulung tikar dan menghentikan operasi di Gebeng. Dalam dokumen yang dilampirkan terdapat kebenaran yang tidak pernah dijelaskan kepada rakyat Malaysia tetapi terpaksa dijelaskan kepada pelabur mereka.  Lynas juga menyatakan dengan jelas bahawa nilai aset mereka di LAMP adalah hampir AUD417 juta sedangkan pusat perlombongan di Mount Weld cuma bernilai AUD3 juta.  Adakah anda rasa Lynas mahu kehilangan aset yang sebegini berharga?

Pada "Cleansing Document" bertarikh 28hb Februari 2012, item bernombor 3 berkenaan "Risk Factor" tertulis dengan jelas semua risiko yang kemungkinan boleh terjadi terhadap LAMP dan perniagaan Lynas.  Tertulis bahawa tembok konkrit empangan yang kemungkinan retak dan runtuh juga disenaraikan sebagai risiko yang berkemungkinan terjadi.  Bacalah dengan lengkap dokumen tersebut dan anda sebagai rakyat Malaysia akan faham bahawa kata-kata Lynas dan kerajaan BN bahawa LAMP ini tidak merbahaya dan tidak mempunyai risiko hanyalah pembohongan yang nyata.  Lynas mampu menipu kita tetapi mereka tidak boleh menipu pemegang saham mereka justeru semua risiko terpaksa disenaraikan oleh mereka dengan terperinci.













Wednesday 21 March 2012

ADAKAH "LEBUHRAYA MEX" BENAR-BENAR DIJUAL?

Selepas isu NFC, isu Lebuhraya MEX (MEX) pula menjadi popular. Makin lama makin banyak cerita-cerita benar dan separa benar yang kita baca dan dengar.  Kisah MEX ni adalah suatu penceritaan yang menarik kerana ianya melibatkan percaturan diantara sektor korporat dan kerajaan.

Saya membaca dibeberapa forum yang terdapat di Intenet dan ramai juga individu yang membincangkan berkenaan pengambilalihan MEX oleh pihak EP Manufacturing Bhd (EMPB). Kebanyakan dari mereka menterjemahkan pengambilalihan ini sebagai suatu petanda positif kepada unjuran pendapatan EPMB.  Banyak juga formula yang diguna pakai oleh individu-individu ini untuk membuktikan bahawa EPMB akan memperolehi lambakan keuntungan dalam jangkamasa beberapa tahun lagi.  Turut disertakan adalah unjuran pengguna MEX yang akan bertambah tahun ke tahun dan ini dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan EPMB.

Semalam saya bertanya dengan seorang pakar kewangan yang juga seorang ahli perbankan dan dia memberikan maklumat dan penerangan yang begitu teliti berkenaan isu ini.  Dia menggunakan semua istilah perbankan dan kewangan untuk membuktikan bahawa EPMB telah melakukan perkara yang terbaik untuk mengambil-alih konsesi MEX dari Maju Expressway Sdn Bhd (MESB).  Setelah mendengar penjelasan dari dia selama hampir 30 minit, saya bertanya kepada dia satu soalan dan dia terdiam dan hanya memandang saya.  Soalannya "jika benar apa yang kamu katakan berkenaan unjuran positif terhadap EPMB akibat dari pengambilalihan MEX dari MESB, kenapa MESB melupuskan aset yang begitu berharga?"

Dia tidak dapat menjawab soalan saya dan saya tujukan soalan ini kepada semua pembaca blog tahirnisa dan kepada semua yang menyatakan betapa untungnya EPMB dalam memiliki MEX.  Dari segi perniagaan, tidak ada syarikat yang ingin melupuskan sesuatu yang BERHARGA tanpa sebab yang munasabah.  Adakah MESB beroperasi dalam kerugian yang teramat sehingga terpaksa menjual aset tersebut? Adakah MESB menghadapi tindakan mahkhamah akibat masalah kewangan sehingga terpaksa menjual aset tersebut? Adakah MESB sudah mempunyai perniagaan dalam sektor lain yang lebih mengguntungkan kalau dibandingkan dengan memegang konsesi lebuhraya?

Di Malaysia, banyak juga syarikat yang mengimpikan untuk menjadi pemegang konsesi sesebuah lebuhraya.  Perniagaan sebagai pemegang konsesi ini adalah amat mengguntungkan.  Yang peliknya, MESB melepaskan semua yang positif, unjuran pendapatan yang berlipat-kali ganda dan pendapatan yang konsisten tanpa sebab musabab yang rasional.  Sebuah syarikat yang merupakan anak syarikat kepada Maju Holdings Berhad (MHB) dan Perwaja Holdings Berhad (PHB), telah menjual MEX kepada sebuah syarikat yang memperolehi keuntungan dalam puluhan juta setahun.  Kalau dilihat kepada Laporan Tahunan PHB, pada tahun 2010 mencatat kerugian sebanyak RM69 juta dan kini mereka melupuskan suatu aset yang begitu berharga.  Penjualan ini tidak akan mengguntungkan MESB, MHB mahupun PHB kerana sebahagian besar duit yang diterima dari EPMB perlu dikembalikan kepada kerajaan.  Adakah tindakan ini rasional?  Sememangnya tidak rasional.

Pada hakikatnya, penjualan ini tidak perlu ada rasionalnya, kerana penjualan dan pengambilalihan ini hanyalah sebahagian dari sambungan kepada pementasan drama kerajaan BN untuk kepentingan diri sendiri.  Pemberian bantuan kewangan berbentuk "gran"dari kerajaan Malaysia kepada MESB merupakan suatu keganjilan dalam penswastaan sesuatu projek berskala besar.  Tetapi bagi kerajaan BN, mereka mempunyai pelbagai sebab untuk memberikan "gran" sebanyak RM976.6 juta kepada MESB.  Menurut kata Rafizi Ramli dan juga pemimpin Pakatan Rakyat, kerajaan tidak sepatutnya menswastakan suatu projek infrastruktur yang dibina dengan wang rakyat.  Itu kata pembangkang, tetapi bagi kerajaan BN, mereka mahukan Lebuhraya MEX dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta supaya kutipan tol boleh dilaksanakan tanpa persoalan dari raykat.  Di sini kita nampak bahawa slogan RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN cumalah suatu fantasi yang tiada realiti.

Sekiranya lebuhraya MEX dibina oleh kerajaan, maka tender haruslah dibuka oleh Jabatan Kerja Raya dan tidak melibatkan Kementerian Kewangan atau Unit Perancang Ekonomi.  Sudah sekian lama sejak pemerintahan Tun Mahathir, Perdana Menteri memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan ini membolehkan perancangan dan kelulusan berkenaan sesuatu projek dibuat dengan mudah tanpa membabitkan banyak pihak sekiranya projek infrastrukur tersebut dibawah kelolaan Kementerian Kewangan.

Dalam isu lebuhraya MEX, Kementerian Kewangan mempunyai kuasa penuh dalam merancang dan melaksana projek tersebut.  Kementerian Kewangan juga bebas untuk membuat apa juga yang termampu untuk memastikan projek lebuhraya ini siap pembinaannya.  MESB hanyalah suatu syarikat yang dipilih untuk memandu pelaksanaan projek ini atas dasar penswastaan.  Sama seperti situasi Tun Mahathir menjadikan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri sebelum kuasa diserahkan kepada Datuk Seri Najib.  Kenapa MESB yang dipilih dan bukannya syarikat lain?  Kerana pengurusan MHB, MESB dan PHB mempunyai kaitan dan persahabatan yang rapat dengan pihak kerajaan BN.  Justeru, kerajaan BN memerlukan "tag-team partner" yang boleh menjayakan semua perancangan mereka dengan mudah. Dari situlah berlakunya pemilihan MESB.  Untuk memastikan MESB tidak akan gagal dalam melaksanakan pembinaan lebuhraya MEX maka kerajaan memberi bantuan kewangan yang secukupnya.

Kini drama MESB-BN ini memasuki fasa seterusnya dan mereka perlu menjual aset yang berharga ini kepada sebuah institusi swasta untuk memastikan kutipan tol dapat diteruskan dan dapatlah MESB mengembalikan duit yang pernah didahulukan oleh kerajaan.  Sepatutnya kerajaan BN sebagai pembiaya terbesar, mengambil-alih lebuhraya ini dan tidak lagi menswastakannya.  Yang menjadi persoalan kepada pihak pembangkang dan rakyat secara amnya ialah kenapa kerajaan tidak mengambilalih konsesi lebuhraya MEX yang boleh dikoordinasikan oleh Unit Perancang Ekonomi dan Khazanah Nasional.  Sekiranya pihak kerajaan menyatakan bahawa mereka tiada pengalaman dalam pengurusan lebuhraya, maka inilah penipuan disiang hari yang dibuat secara terang-terang.  MESB juga tidak mempunyai kepakaran tetapi kenapa mereka dipilih sebagai pengendali projek lebuhraya MEX ini?

Persoalan yang ditimbulkan oleh pembangkang berkenaan sejumlah wang sebanyak RM976.6 juta yang harus dikembalikan kepada kerajaan sebenarnya tidak relevan kerana duit tersebut pasti akan dikembalikan dan itulah tujuan sebenar mengapa lebuhraya ini dijual.  Sekiranya duit tersebut tidak perlu dikembalikan maka EPMB tidak perlu menerbitkan bon sukuk untuk membiaya pembelian ini kerana perjanjian pemberian "gran" oleh kerajaan kepada MESB boleh dipindah-milik kepada EPMB secara persetujuan bersama.  Tetapi ini tidak berlaku, sebaliknya EPMB perlu membayar jumlah penuh harga pembelian lebuhraya MEX kepada MESB.  Di sini kita perlu juga teliti secara mendalam perjanjian yang ditandatangani antara MESB dan EPMB.  Adakah kerajaan menjadi penjamin atau penerbit kepada bon sukuk ini? Sekiranya kerajaan bertindak sebagai penjamin maka benarlah duit tersebut telah dipulangkan oleh MESB kepada kerajaan.  Sebagai ganti, kerajaan memudahkan urusan pembelian oleh EPMB dengan penjadi penjamin kepada bon sukuk.  Ini masih di peringkat andaian sehingga kita dipertontonkan dengan surat perjanjian yang sebenar.

Tidak banyak institusi kewangan yang mampu menerbitkan bon sukuk sebanyak RM1billion untuk sebuah syarikat yang cuma mencatat keuntungan puluhan juta ringgit setahun dan tidak pernah terlibat dalam pengendalian konsesi lebuhraya.  Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan bank-bank sanggup menerbitkan bon ini tanpa sebarang halangan.  Justeru, pada kebiasaannya sesebuah kerajaan pusat akan menjadi penjamin kepada bon tersebut atau menjadi penerbit bon tersebut.

Sebenarnya bon sukuk adalah suatu bon yang dikatakan berlandaskan syariah tetapi masih ada ulama yang mendebatkan isu ini kerana pulangan yang akan diterima oleh pemegang bon sukuk ini adalah pada kadar yang telah ditetapkan sedangkan dalam syariah Islam, pulangan keuntungan (faedah/interest) yang ditetapkan jumlahnya adalah riba.

Berbalik kepada isu MEX.  Pembangkang sepatutnya menekan kerajaan untuk menunjukkan kira-kira yang membolehkan kita mengetahui kemana duit sebanyak RM976.6 juta tersebut dibelanjakan.  Wang yang hampir RM1 billion adalah suatu jumlah yang besar dan ianya boleh disalah gunakan dengan mudah.  Pihak pembangkang perlu mengambil langkah untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini berkenaan perbelanjaan wang tersebut dan saya pasti kerajaan akan cuba sedaya mungkin untuk tidak menggembar-gemburkan isu wang ini.  Dalam waktu kerajaan mengurangkan tol dan menghapuskan tol dibeberapa plaza tol terpilih, kerajaan juga menyalah gunakan wang rakyat untuk kepentingan sendiri.  

Kerajaan Malaysia terlalu taksub dengan isu ekonomi sehingga mengabaikan isu sosio-kemasyarakatan dan perpaduan nasional yang lebih penting.  Hanya dengan slogan dan pendekatan 1Malaysia, kita tidak akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera sekiranya kerajaan terus menerus menggunakan wang hasil titik peluh kita tanpa budi bicara.

Persoalannya, adakah benar Lebuhraya MEX dijual oleh MESB atau ianya tidak pernah pun menjadi milik MESB kerana pemunya sebenar lebuhraya tersebut ialah kerajaan Malaysia sebagai pelabur tertinggi iaitu sebanyak RM976.6 juta yang dilaburkan. Kini adakah lebuhraya tersebut milik EPMB atau ianya masih kepunyaan kerajaan Malaysia sebagai penerbit/penjamin bon sukuk sehingga bon tersebut dijelaskan sepenuhnya oleh EPMB.

Monday 19 March 2012

Datuk Seri Najib Menghina Rakyat Malaysia

Ulasan dari Datuk Seri Najib, seperti yang dilaporkan di Malaysiakini......

"Kita kini berhadapan dengan situasi yang berbeza dengan kewujudan media sosial, rakyat juga semakin bijak selain maklumat yang mudah diperoleh," katanya pada sesi soal jawab selepas melancarkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di Kuala Lumpur, malam semalam.

“Turun padang akan diteruskan. Tetapi, keadaan semasa memang mencabar. Rakyat makin berpendidikan dan dengan limpahan teknologi baharu. Inilah cabaran masa kini.

“Namun, kalau pilihan raya menghasilkan keputusan yang lemah, ia akan memberi kesan kepada negara,” katanya. 

Mungkin DS Najib sudah mula penat dan mudah mentuturkan kata-kata yang akan memakan diri beliau dan juga BN.  Ulasan dari beliau ini dengan jelas menyatakan bahawa "rakyat semakin bijak" dan ini akan menyukarkan BN memenangi majoriti dua pertiga pada pilihanraya yang akan datang.  Maknanya selama ini rakyat menyokong BN kerana dibelenggu kebodohan?  

Teknologi dan penggunaan ruang siber untuk menyampaikan berita dan maklumat telah membuka minda rakyat untuk memahami dengan lebih mendalam sesuatu isu.  Rakyat juga makin berani menyoal kerajaan berkenaan sesuatu isu yang menjadi bualan ramai atau mencurigakan.  

Kata-kata DS Najib bahawa rakyat semakin bijak sememangnya suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia kerana secara halus Najib memaksudkan bahawa dahulu rakyat BODOH dan kerana itu BN disokong.  Cukup mudah untuk memperolehi majoriti dua pertiga pada pilihanraya sekiranya rakyat kekal BODOH.

Sepandai-pandai kita berkata-kata dengan ayat-ayat manis, akhirnya akan terserlah juga keperibadian kita yang sebenar dan itulah yang terjadi kepada DS Najib.  Beliau mencanang semua yang baik-baik dan mulia sewaktu berucap dihadapan rakyat, tetapi akhirnya, beliau telah menyatakan apa sebenarnya yang terbuku dalam hati beliau...iaitu wahai rakyat Malaysia, tolonglah kekal bodoh dan sokong BN, kami perlukan kebodohan anda untuk memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen.

Tuesday 13 March 2012

PENJELASAN KEPADA MEDIA INTERGRATIF BERKENAAN LYNAS

Di bawah ini adalah komen dari seorang blogger yang mengikuti penulisan saya berkenaan isu Lynas dan saya amat menghargai komen dari beliau.  Beliau juga mengutarakan kekeliruan yang timbul berkenaan isu ini kerana ada pihak mengatakan bahawa Lynas adalah selamat dan ada pula pihak yang berkata sebaliknya.  Ikuti penjelasan saya setelah membaca komen beliau ini.
salam..saya mengikuti penulisan dan juga info2 terkini berkaitan LYNAS. Saya amat tertarik dengan penulisan anda namun saya masih terkeliru dengan LYNAS yang dikaitkan dengan bahan nadir bumi yang dikatakan selamat untuk dibangunkan oleh kerajaan.Namun,PR mengatakan disebaliknya dengan bukti penentangan Himpunan Hijau yang diadakan pd Febuari lalu di kauntan. Pada 29 Feb (tak silap saya), Tuan Guru Hj Hadi Awang mengeluarkan statment LYNAS selamat dibangunkan melalui klip video yang di download di laman2 sesawang dan beliau meminta ahli2 PR merujuk pada pandangan Dr. Che Rosli yang juga ahli parlimen PAS kaw Hulu langat, seorang saintis dlm PAS dan juga pensyarah bahagian nuklear di ukm. Persoalan yang ingin saya kemukakan, adakah ini 'polemik' politik semasa yang mempunyai kepentingan pada sesebuah parti atau kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua2 pihak iaitu kerajaan dan pembangkang mempunyai nilai positif untuk masyarakat. Sememangnya saya yakin dengan keputusan yang keluar dari bicara TGHA cuma saya perlukan lagi penjelasan yang lebih mendalam bagi membantu saya mengumpul maklumat2 berkaitan LYNAS untuk tesis m.a..I.allah.Syukran atas pandangan, perkongsian dan juga kerjasama dari sahabat..Sama2 kita berjuang untuk masyarakat demi ISLAM..wslm



Lynas adalah suatu isu global.  Ianya bukanlah suatu isu yang membabitkan hanya Lynas, Malaysia dan Australia.  Kewujudan Lynas adalah untuk menjadi pemain utama dalam perlombongan dan pemprosesan nadir bumi untuk kepentingan dunia secara keseluruhan.  WTO juga terbabit dalam memastikan kilang Lynas di Gebeng akan beroperasi.  Tidak salah dengan kewujudan LAMP Lynas ini, kerana memang hasil dari nadir bumi diperlukan oleh kebanyakan industri yang melibatkan teknologi dan kejuruteraan.  Lynas mempunyai kawasan lombong di Australia tetapi tidak mendapat kelulusan kerajaan Australia untuk memproses nadir bumi di negara mereka sendiri.  Buatlah sedikit kajian dan anda akan dapat maklumat bahawa kerajaan Australia menolak permohonan Lynas untuk memproses nadir bumi di Australia kerana mereka menjangkakan kerosakan kepada alam sekitar akibat dari sisa pasca pemprosesan nadir bumi adalah beradioaktif dan merbahaya kepada persekitaran dan kehidupan.

Merbahaya kepada persekitaran dan kehidupan ini adalah suatu modal perbahasan yang luas.  Bukan sekadar merbahaya kepada mereka yang terlibat dalam pengendalian sisa ini, tetapi ianya juga merbahaya kepada semua manusia yang kemungkinan boleh terdedah kepada radiasi dari sisa ini.  Kebanyakan dari mereka yang menyokong projek Lynas adalah pihak yang melihat apa yang ada di depan mata mereka, iaitu terdapat kilang yang dibangunkan dengan harga beratus juta ringgit dan terdapat sistem keselamatan pemprosesan yang canggih dan tersusun.  Tetapi apa yang diperjuangkan oleh pihak yang menentang Lynas adalah sesuatu yang mata kita tidak nampak, tetapi mata hati kita dapat merasainya, iaitu kemusnahan kemakmuran dan keharmonian untuk masa depan anak-anak kita.

Ramai yang menjadikan negara China sebagai contoh dan penyokong Lynas menyatakan bahawa, di China tidak ada kemusnahan secara besar-besaran akibat pemprosesan nadir bumi dan bagaimana pula akan berlaku kemusnahan jangka masa panjang di Malaysia.  Yang peliknya, mereka-mereka yang menyatakan demikian pernah mendapat ijazah dan sebagainya tetapi mempunyai akal yang sempit.  Nyatakan kepada saya keluasan negara China dan keluasan Semenanjung Malaysia.  Baca dan kaji dahulu dengan teliti tentang semua jenis kemusnahan yang telah pun berlaku di China akibat dari pelupusan sisa nadir bumi yang tidak selamat.  Terdapat satu penulisan di blog saya ini yang menyatakan dengan jelas berkenaan perlombongan nadir bumi di China dan implikasi yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Negara China adalah suatu negara yang besar dan luas dan kalau anda suka melayari youtube maka sudah pasti anda pernah melihat bagaimana rakyat di China tidak ambil peduli tentang keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat. Terdapat video berkenaan kemalangan ngeri di depan mata mereka, tetapi orang yang lalu lalang tidak ambil peduli. Mereka memang TIDAK AMBIL PEDULI dan ini adalah budaya hidup sebahagian dari mereka.  Ini juga merupakan polimik masyarakat setempat yang menunjukkan dengan jelas bahawa di China isu keselamatan dan kebajikan adalah "secondary" atau mungkin hampir tiada.  Malang sekali untuk Lynas, masyarakat Malaysia bukan seperti rakyat di China.  Masyarakat Malaysia, walaupun berbilang kaum dan berlainan agama, adalah masyarakat yang prihatin dan berkebajikan.  Sudah terbukti di seantero dunia bahawa rakyat Malaysia mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi berbanding bangsa dari negara-negara lain.

Justeru, isu Lynas ini dikupas, diselidik, diolah, diterjemah dan diadili oleh rakyat Malaysia kerana mereka kurang percaya kepada kerajaan BN yang pasti akan meneruskan projek ini atas nama "kepentingan rakyat".  Apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang berkenaan kilang Lynas "selamat" ada kebenarannya, tetapi sisa yang dihasilkan melalui pemprosesan nadir bumi TIDAK SELAMAT.  Mana yang lebih penting kepada anda?  Kilang nadir bumi yang dimiliki oleh sebuah syarikat asing dan dikatakan "selamat" atau sisa buangan yang beradioaktif dari kilang ini yang akan dibuang/disimpan di tanah tumpah darah anda dan dikategorikan sebagai tidak selamat?

Isu Lynas adalah suatu isu yang sangat objektif dan tidak perlu ada kekeliruan.  Persoalan yang timbul bukan berkenaan kilang Lynas tetapi penghasilan sisa yang beradioaktif.  Cuba peka kepada apa yang dikatakan oleh kerajaan, AELB, Lynas, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Dr. Che Rosli dan seluruh dunia.....semua menyatakan kilang Lynas selamat.  ADA TAK SESIAPA DIANTARA MEREKA MENGATAKAN SISA BUANGAN DARI KILANG LYNAS ADALAH SELAMAT? Kalau ada diantara mereka yang mengatakan sisa beradioaktif itu selamat, maka mereka perlu tanam diri mereka dan timbuskan dengan sisa beradioaktif ini.  Mereka pasti akan selamat, SELAMAT kembali ke RAHMATULLAH.

Anda keliru kerana anda tidak dapat mengenalpasti mana satu isu yang sebenar.  Kilang Lynas bukanlah isu di sini, tetapi adalah sisa yang beradioaktif.  Sebagai manusia, kita juga perlu ingat bahawa apa juga yang selamat pasti akan melalui ujian dari Allah s.w.t. jua.  Loji kuasa nukear di Fukushima tidak pernah dikategorikan sebagai tidak selamat sehinggalah Allah s.w.t. memberi ujian kepada masyarakat di sana. Kini loji tersebut dikatakan tidak selamat dan kerajaan Jepun sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa Jepun akan mula membangunkan loji tenaga yang menggunakan bahan mentah alternatif dan bukan lagi bahan ber-atom sebagai bahan mentah untuk menjana tenaga.

Sewaktu pembinaan loji-loji nuklear di Fukushima dan seluruh dunia, ianya mendapat kelulusan dari semua pihak termasuk dari badan antarabangsa yang bertanggungjawab terhadap pelesenan dan perjalanan loji-loji berkuasa nuklear.  Kita semua faham nuklear boleh digunakan untuk pembangunan sesebuah negara, tetapi lupakah kita bahawa nuklear juga terbukti boleh memusnahkan kehidupan.  Buktinya sudah pun Allah s.w.t. tunjukkan dengan jelas.

Berbalik kepada isu Lynas, fikirkanlah, sampai bila kilang ini akan KEKAL selamat?  Adakah Tuan Guru Haji Hadi Awang mempunyai jawapannya? Adakah mana-mana jurutera mempunyai jawapannya?  Saya juga tidak mempunyai jawapannya...tetapi yang pasti bukan untuk selama-lamanya.  Suatu hari nanti ujian Allah s.w.t. akan berikan jawapan kepada persoalan ini.  

Kemusnahan yang akan berlaku akibat dari pembuangan sisa beradioaktif ini bukanlah sesuatu yang akan dapat kita lihat dengan kadar segera atau dalam skala yang besar. Tetapi ianya akan terjadi secara "gradual" bilamana sisa tersebut mula ada "contact" dengan alam dan kehidupan.

Lynas sebenarnya ingin bertapak di China dan telah membeli saham disebuah syarikat di China melalui cara yang tidak bermoral dan kes ini pernah di bawa ke mahkhamah dan penyelesaian secara perbincangan luar mahkhamah telah menyelamatkan syarikat Lynas dari membayar gantirugi yang besar. Baca tentang perkara ini dalam blog saya. 

Pemprosesan nadir bumi oleh Lynas tidak diterima di Australia, China dan Malawi tetapi diterima oleh kerajaan Malaysia yang cetek ilmu berkenaan pemprosesan nadir bumi.  Dari segi ekonomi, Malaysia akan mendapat pulangan dan "exposure" yang luas sebagai pengekspot nadir bumi terkemuka dunia, tetapi adakah kita perlukan status tersebut dengan menganak-tirikan keselamatan rakyat sendiri?

Berkenaan isu Lynas dicanang sebagai isu politik oleh parti-parti politik, kita perlu lihat sistem pemerintahan di negara kita dan kita akan faham kenapa isu ini dibawa ke pentas politik.  Jangan terkeliru, bukan isu ini sahaja yang dibawa ke pentas politik, tetapi banyak lagi isu termasuk isu-isu kemasyarakatan dan pembangunan.  Mari kita lihat sistem yang diguna pakai di negara Malaysia.  Demokasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, adalah sistem yang diguna pakai oleh kerajaan memerintah dalam mentadbir negara Malaysia dan demokrasi berparlimen ini sedikit berbeza dari demokrasi yang diguna pakai di negara Amerika Syarikat.  Saya manjadikan Amerika Syarikat sebagai contoh, kerana semua negara di dunia mengakui bahawa Amerika Syarikat adalah negara yang mengamalkan demokrasi secara menyeluruh (benar atau tidak, kita akan kupas dipenulisan yang lain).

Berbalik kepada demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.  Demokrasi Berparlimen adalah demokrasi yang bukan total.  Maknanya, sekiranya ada apa-apa yang rakyat tidak puashati, jangan cakap sebarangan, guna saluran yang betul untuk mengutarakan ketidakpuasan hati anda.  Dalam isu Lynas ini rakyat telahpun mengutarakan segala ketidakpuasan hati dan bangkangan kepada kerajaan yang memerintah tetapi tiada apa yang telah dilakukan untuk menyebelahi rakyat.  Disebabkan demokrasi berparlimen ini tidak mengizinkan rakyat melakukan sesuka hati mereka untuk membantah kerajaan yang memerintah maka pihak yang menentang Lynas membawa isu ini kepada pihak pembangkang yang berada di pentas poilitik.  Apa juga isu yang dibawa ke pentas politik akan didialogkan sebagai pementasan politik dan sudah pasti akan mengguna-pakai bahasa prosa politik.

Bukan salah rakyat dan juga bukan salah pembangkang sekiranya ada pihak yang melihat isu Lynas ini di politikkkan.  Rakyat sudah memberi masa yang cukup dan peluang yang cukup untuk kerajaan BN membuat sesuatu untuk kepentingan mereka tetapi isu ini tidak diambil berat.  Rakyat bukan membantah semua yang dilakukan oleh kerajaan BN....projek MRT di Lembah Kelang pada permulaannya mendapat bantahan rakyat dan juga telah dicanang oleh pihak pembangkang, tetapi bila kerajaan mula mengambil langkah memperbetulkan beberapa perkara yang rakyat tidak puas hati, maka isu ini sudah tidak sepanas dahulu.  Walaupun saya akui masih ada pihak yang tidak puas hati dengan projek MRT ini tetapi secara keseluruhan rakyat sudah boleh menerima.

Jadi bukanlah isu Lynas di politikkan, tetapi sistem pemerintahan di negara kita ini yang membuatkan sesuatu isu itu terpaksa diusulkan di atas landasan politik akibat dari pemerintah yang menggunakan kuasa penuh yang ada pada mereka untuk tidak mengendahkan kehendak rakyat.

Anda perlu membuat kajian mendalam berkenaan isu perlombongan nadir bumi di Bukit Merah yang sehingga kini sisa radioaktif masih aktif dan membahayakan penduduk setempat.  Anda ada menulis bahawa anda perlukan bahan untuk tesis anda dan saya rasa mungkin anda seorang penuntut di universiti tempatan atau luar negara dan sebagai seorang penuntut yang bakal menjadi harapan negara, bangsa dan agama, anda harus mulakan kajian anda berkenaan isu ini dengan mengasingkan isu kilang Lynas yang selamat (selagi Allah s.w.t. tidak mentakdirkan sebaliknya)  dengan isu sisa buangan dari kilang Lynas yang memang TIDAK SELAMAT.

Saya tidak pasti samada penulisan saya ini dapat meringankan atau menghapuskan kekeliruan yang ada dalam diri anda tetapi nasihat saya kepada semua mahasiswa dan mahasiswi, bila anda berada di puncak menara gading, pandanglah ke bawah, kerana setinggi manapun anda mendaki ke arah langit biru, kaki anda masih kukuh berpijak di tanah tempat tumpahnya darah anda.  Dari tanah kita dijadikan, ke tanah jua kita akan kembali.  Jadikanlah Malaysia sebuah negara yang makmur dan harmoni bukan hanya untuk kita tetapi untuk tatapan dan kegunaan generasi akan datang. 

Selamat maju jaya dalam pembelajaran dan perjalanan hidup anda. 

tulus ikhlas dari tahirnisa.blogspot.com

sedikit nasihat kepada Datuk Seri Najib, kerajaan memerintah, parti pembangkang dan kepada semua rakyat Malaysia...DON'T DEFINE IF YOU ARE UNDEFINED and DON'T ASSUME IF YOU ARE BEING PRESUMED

Saturday 10 March 2012

Pakatan Tidak Mahu Majoriti Dua Pertiga.....Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar berkata "Siapa kata kita mahu majoriti dua pertiga? Pakatan hanya mahu menang. Jika kita boleh capai ini ... perkara yang paling penting adalah untuk memperbaiki institusi kami, termasuk badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam,".

Dalam surat terbuka saya kepada Datuk Seri Anwar, saya ada menegur sikap beliau dan pimpinan parti pembangkang.  Sesiapa yang sudah membaca surat terbuka itu akan tahu apa teguran dan nasihat saya.  Pada petang hari selepas saya habis menulis surat terbuka itu, saya membaca pula di Malaysiakini bagaimana Datuk Seri Anwar menyatakan bahawa Pakatan tidak mahu menang majoriti di Parlimen tetapi sekadar memenangi mojoriti mudah.  Sangat senang untuk kita huraikan kenapa DSAI menyatakan demikian dan sudah pasti salah satu sebabnya ialah Pakatan Rakyat tidak mempunyai pemimpin yang cukup dan berkaliber untuk menggalas tugas penting untuk mentadbir negara.

Segala apa yang saya tulis di dalam surat terbuka saya itu terbukti benar dan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat pasti akan mengecewakan rakyat yang telah menyokong mereka sekiranya mereka gagal memerintah dengan efisien sekiranya mereka memenangi majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan persekutuan.  

Tetapi, bukankah pelik bila sesebuah parti yang begitu lantang memperjuangkan rakyat dan begitu aktif menyerang keperibadian individu dan parti BN, tiba-tiba tidak mahu menang majoriti dua pertiga.  Bagi mereka yang merasakan perkara ini bukan pelik, mungkin anda harus mendalami ilmu politik dan juga membaca sejarah dalaman negara dan juga dunia.

Sekiranya tidak ada parti politik yang berjaya memiliki majoriti dua pertiga, maka senario politik dan pengurusan kerajaan di negara kita akan menjadi BAGAI TELUR Di HUJUNG TANDUK.  Apa yang cuba dicapai oleh pihak Pakatan dengan tidak mahu majoriti dua pertiga?  Apa yang boleh dilakukan oleh pihak Pakatan dengan menidakkan majoriti dua pertiga BN?  Tidakkah pihak Pakatan belajar dari apa yang berlaku di Perak?  Akibat dari membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, maka MUDAH jugalah pihak musuh menumbangkan kerajaan negeri dengan menggunakan taktik serangan dari dalaman parti.

Di Perak, selepas berlaku pertukaran kerajaan dari Pakatan kepada BN, adakah Pakatan berjaya merampas kembali negeri Perak dari kerajaan BN?  Sehingga saya menulis artikel ini, kerajaan BN masih berkuasa di Perak dan populariti BN di Perak sudah semakin pulih dan rakyat Perak secara purata sudah boleh menerima kembali BN.  

Justeru, adakah DSAI inginkan perkara yang sama berlaku di peringkat pusat?  Saya telah nyatakan, DSAI tidak mementingkan kekuatan dalaman parti dan asyik cuba untuk melemahkan pihak lawan.  Strategi yang di gunapakai oleh pihak Pakatan ini memang disukai oleh masyarakat kerana siapa tak suka mendengar cerita-cerita yang memburukkan individu atau parti.  Rakyat rasa terhibur mambaca artikel-artikel yang mengutarakan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh parti memerintah.  Tetapi selagi kuasa memerintah bukan dipihak Pakatan, maka semua cerita ini akan kekal sebagai cerita yang menghiburkan.

Satu isu yang mudah seperti Lynas pun tidak dapat ditangani dengan efektif oleh pihak Pakatan.  Kenapa?  Kerana kuasa penentu berkenaan isu ini bukan berada di pihak Pakatan, tetapi di pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri.  Sekiranya Pakatan memenangi majoriti mudah, memang betul Pakatan dapat membantutkan segala perancangan yang membabitkan penyelewengan, tetapi dapatkah Pakatan mengelakkan ahli parti mereka dari melompat bagaikan katak ke parti lawan atau menjadi Ahli Parlimen Bebas?

Pakatan lemah secara dalaman kerana "attacking style of politics" yang tidak mementingkan keadaan dalaman parti.  Saya benar-benar mengharapkan agar Pakatan tidak akan mengecewakan penyokong mereka dan tidak membuat usul atau tindakan yang akan merugikan rakyat.  Kami tidak mahu satu lagi klon UMNO/BN. Kami mahukan suara dan aspirasi kami di dengar dengan jelas di Parlimen. 

SATU AMARAN DARI RAKYAT MALAYSIA KEPADA PAKATAN...KAMI PUNYA KUASA DI JARI JEMARI KAMI, KALAU ANDA HAMPAKAN KAMI, KAMI BOLEH MENIDAKKAN KUASA BERPOLITIK ANDA SEPERTIMANA KAMI AKAN MENGHAMPAKAN KUASA BERPOLITIK BN

Friday 9 March 2012

Surat Terbuka Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim

Assalamualaikum w.b.t, Yang Berbahagia Datuk Seri,

Terlebih dahulu saya ucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah dan izin Nya, kami rakyat Malaysia masih dapat merasai sentuhan Datuk Seri dalam arena politik tempatan.  Saya juga mendoakan agar Datuk Seri dan keluarga senantiasa dalam keadaan sihat dan di lindungi Allah s.w.t. dari kemungkaran ciptaaan manusia.

Izinkan saya memperkenalkan diri sebagai seorang penganut agama Islam yang menetap di Malaysia dan mengikuti segala perkembangan diri dan keluarga Datuk Seri sejak dari waktu Datuk Seri masih di dalam kerajaan Barisan Nasional dan UMNO.  Sebagai seorang manusia biasa yang hidup dalam suasana masyarakat yang majmuk, saya telah melihat bagaimana perpaduan dan kerjasama adalah satu intipati penting dalam memperkasakan agama, bangsa dan negara.

Dalam usia muda, saya dan isteri telah menyertai gerakan reformasi dan aktif memperjuangkan kepimpinan Datuk Seri walaupun kami bukanlah sehebat, selincah pemimpin-pemimpin politik yang ulung.  Bagi kami yang penting adalah perjuangan untuk rakyat dan bukan perjuangan yang mempergunakan rakyat.  

Pada masa usia saya 21 tahun, saya bertugas sebagai "Executive Assistant" kepada pengurusan sebuah syarikat bumiputra yang aktif dalam membida dan melaksanakan kerja-kerja untuk kerajaan pusat di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional.  Pada waktu itu Datuk Seri dalah Menteri Kewangan dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.  Syarikat yang menggaji saya adalah sebuah syarikat yang diterajui oleh seorang individu yang kaya dan berpengaruh dan mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir.  Peliknya syarikat ini di kendalikan oleh seorang individu yang telah di isytiharkan sebagai muflis dan pegangan saham di syarikat tersebut di pegang oleh anak dan menantu beliau.  Beliau yang muflis masih mempunyai kereta-kereta mewah seperti Toyota Estima dan Rover, sebuah banglo mewah di Petaling Jaya dan banyak lagi kemewahan yang sepatutnya tidak dimiliki oleh seorang yang muflis.  Pada waktu itulah saya belajar bahawa Malaysia adalah tempat terbaik untuk menjadi muflis tetapi masih boleh hidup mewah asalkan ada sokongan dari orang-orang politik.

Anehnya, syarikat ini sering kekurangan dana untuk membayar gaji pekerja dan individu yang muflis ini akan mengarahkan setiausaha sulit dia untuk membuat pengeluaran tunai dari suatu akaun dan kami akan di bayar gaji secara tunai.  Kemudian bila dana syarikat sudah ada, maka duit yang didahulukan oleh individu tersebut akan di bayar balik oleh syarikat.  Semua ini dilakukan secara TUNAI.   

Pada waktu Datuk Seri menjadi pemangku Perdana Menteri (Tun berada di luar negara), sepucuk surat telah di kirim kepada pihak Datuk Seri oleh individu yang muflis ini meminta jasa baik Datuk Seri untuk mengenepikan keputusan mahkhamah yang mengistiharkan diri beliau sebagai muflis, dan saya adalah individu yang menaip surat tersebut dan saya juga menerima surat balas dari Datuk Seri berkenaan perkara ini.  Surat dari Datuk Seri adalah sangat ringkas dan tegas,  Datuk Seri telah menulis bahawa, kehakiman di Malaysia harus di biarkan neutral dan tidak dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan peribadi mereka, justeru Datuk Seri tidak dapat membantu untuk mengarahkan mahkhamah mengenepikan peristiharaan muflis tersebut.

Majikan saya memang kecewa dan marah dengan surat tersebut dan sekembalinya Tun M dari luar negara, beliau memberitahu Tun M tentang apa yang telah terjadi dan saya percaya itu adalah salah satu dari beratus atau beribu aduan yang telah di buat oleh pihak yang tidak suka akan ketegasan Datuk Seri dalam mentadbir urusan negara.  Saya percaya ketegasan Datuk Seri telah membangkitkan kebencian dan kejelekan dalam masyarakat UMNO dan Barisan Nasional yang tidak dapat menerima pendekatan yang diguna oleh Datuk Seri.  Saya pula berasa bangga bila membaca surat Datuk Seri yang menyatakan bahawa badan kehakiman tidak harus dipergunakan untuk kepentingan mana-mana pihak. 

Setelah 2 tahun bertugas di syarikat terbabit, saya meletak jawatan kerana ada sahaja perkara yang tidak kena dengan urusan dan pentadbiran syarikat dan perolehan tender.  Tekaan saya menjadi benar, setelah saya meletak jawatan, saya difahamkan bahawa syarikat telah mengambil bahagian dalam tender untuk penswastaan DOSH.  Saya juga difahamkan bahawa syarikat telah memenangi tender tersebut dan syarikat telah di serbu oleh pihak SPRM kerana mendapat aduan dari sebuah syarikat antarabangsa yang turut menyertai tender tersebut.  Yang hebatnya tentang syarikat yang pernah saya bekerja ini, kami tidak mempunyai walau seorang pun jurutera atau juruteknik tetapi telah memenangi tender ini.  Tapi itu berlaku setelah saya meletak jawatan jadi saya tidak lagi ambil peduli tentang perkembangan isu tersebut. 

Banyak lagi projek lain yang telah dimenangi oleh syarikat ini walaupun tidak mempunyai kepakaran atau kemampuan untuk melaksanakan tugas yang digariskan dalam tender.  Kami memenangi pakej infrastruktur teknologi untuk projek KLIA dan bermacam-macam projek berskala besar. Syarikat cuma bertindak sebagai penender kerana setiap kerja tender yang kami berjaya perolehi akan di sub kepada pihak lain termasuk pihak dari luar negara.
Itu adalah sebahagian dari penyelewangan dan penyalahgunaan yang saya telah saksikan dalam urusan tender. Saya percaya bukan semua perkara boleh dikendalikan oleh Datuk Seri secara sendirian, kerana terdapat terlalu ramai individu yang korup dalam pentadbiran negara, samada dulu, kini dan mungkin sampai kiamat.  Saya percaya Datuk Seri tersepit dalam situasi ini dan tidak berjaya mengubah sikap mereka yang korup ini.

Kini, Datuk Seri adalah individu yang berbeza, seorang individu yang sudah tidak berada di pihak yang mempergunakan rakyat, tetapi berada di pihak yang memperjuangkan rakyat.  Saya senantiasa percaya bahawa politik adalah suatu permainan yang akan di menangi oleh pihak yang diterima rakyat.  Penerimaan rakyat terhadap Datuk Seri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memang telah meningkat.  Penerimaan terhadap dasar-dasar yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat juga sudah mula difahami dan dipersetujui oleh sebilangan besar rakyat.  Tahniah di atas situasi ini. 

Untuk pengetahuan Datuk Seri, saya adalah seorang yang "defensive" dan sangat "observant", justeru saya melihat sesuatu perkembangan yang positif dari sudut yang berbeza-beza.  Populariti Datuk Seri dan pemimpin Pakatan Rakyat memang tidak dapat dinafikan.  Sekiranya Nurul Izzah hampir di tumbuk oleh penyokong UMNO maka ini membuktikan UMNO takut akan Nurul Izzah.  Sekiranya kita ambil perkara ini dari perspektif yang positif, UMNO berada di pihak yang rugi, jadi bayangkan sekiranya Nurul Izzah di benarkan berucap, kemungkinan besar penyokong Pakatan Rakyat akan bertambah di kubu kuat UMNO.  Ketakutan ini adalah adalah permainan emosi yang membuat penyokong UMNO menjadi liar kerana mereka tidak mampu berhujah untuk menangkis kekuatan bahasa politik yang diperkatakan oleh pihak pemimpin Pakatan Rakyat.

Semua perkembangan ini adalah positif, walaupun membabitkan isu kereta Datuk Seri di rosakkan, ceramah Datuk Seri di ganggu, pengawal peribadi Datuk Seri di cederakan dan bermacam lagi kejadian yang negatif sebenarnya menghasilkan sesuatu yang positif.  Sebagai orang politik saya percaya Datuk Seri juga sedar bahawa UMNO sebenarnya manggali kubur mereka sendiri dengan perlakuan biadap yang sebegini.  Tahniah sekali lagi kepada Datuk Seri, kerana telah berjaya mewujudkan ketakutan dalam diri penyokong UMNO dan BN yang takut akan kekalahan dan kekecewaan.

Sekiranya pihak UMNO dan BN telah melaksanakan segala urusan pentadbiran negara dengan telus dan bertanggungjawab, sepatutnya mereka tidak perlu takut akan kekalahan kerana pembangkang tidak akan punya isu untuk di ketengahkan.  Tetapi saban hari ada isu yang diketengahkan dan inilah sebenarnya kekalutan yang timbul dalam diri penyokong dan pemimpin UMNO dan BN, takut akan kalah kepada SUARA dan ASPIRASI rakyat.

Datuk Seri, bagi saya sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan pusat, Pakatan Rakyat tidak harus berbangga dengan kejaayaan itu kerana kemenangan yang sebenar adalah milik rakyat dan Pakatan Rakyat hanyalah satu mekanisma yang di pergunakan oleh rakyat untuk menumbangkan kerajaan yang mempergunakan rakyat.  Dalam erti kata lain, Pakatan Rakyat tidak menang, tetapi rakyat yang menang.  Justeru, adalah harapan saya agar semua kekalutan dan ketakburan yang terdapat dalam kerajaan BN tidak akan ada dalam kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat (sekiranya memenangi pilihanraya).

Satu lagi persoalan yang timbul dalam diri saya dan ingin saya dahulukan kepada Datuk Seri adalah, adakah Pakatan Rakyat mempunyai jumlah individu yang cukup untuk menjadi Menteri dan Timbalan Menteri? Adakah Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan untuk mentadbir dengan melantik individu yang berkaliber dan amanah dalam mengurus sebuah negara.  Ketika ini, cuma terdapat sebilangan kecil pemimpin Pakatan Rakyat yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugas di peringkat pusat dan percayalah Datuk Seri, ini adalah sebab sebenar kegagalan Pakatan Rakyat dalam memenangi majoriti dalam kerusi Parlimen pada pilihanraya yang lepas.  

Rakyat merasakan bahawa Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan mentadbir negeri tetapi tidak untuk mentadbir negara.  Salah satu sebab untuk ini adalah kegagalan Pakatan Rakyat mengenengahkan calon-calon berwibawa untuk mentadbir negara sekiranya memenangi pilihanraya peringkat pusat.  Saya percaya Datuk Seri juga akan bersetuju dengan perkara ini walaupun mungkin mulut Datuk Seri akan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat sudah cukup bersedia untuk mentadbir negara.   "Shadow Cabinet" yang di ketengahkan oleh Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang rakyat belum membiasakan diri, terutamanya bagi rakyat di luar bandar yang tidak mempunyai akses yang mendalam kepada ilmu politik dan urusan pentadbiran negara.  Apa yang mereka mahu bukanlah "shadow cabinet" tetapi calon yang berwibawa dan boleh memperjuangkan kehendak mereka.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menegur Datuk Seri dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain, anda semua terlalu taksub ingin melemahkan pihak lawan sehinggakan anda terlupa untuk meneliti dan memperkukuhkan kekuatan dalam Pakatan Rakyat.  Hanya dengan penambahan jumlah ahli yang menganggotai parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak akan mengukuhkan Pakatan Rakyat.  Mungkin penambahan ahli akan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang, tetapi bagaimana dengan era selepas kemenangan tersebut?  Adakah Pakatan Rakyat ingin mengecewakan penyokong mereka dengan mengenengahkan pemimpin-pemimpin yang kurang berwibawa untuk mentadbir negara?  Adakah Pakatan Rakyat mahukan lebih ramai/banyak KATAK dalam pengurusan negara?  Adakah Pakatan Rakyat mahu gagal dalam mentadbir kerana kekurangan pemimpin-pemimpin yang berkaliber?

Datuk Seri, sejarah dalam pentadbiran diperingkat negeri telah membuktikan bahawa kepimpinan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat sering di sabotaj dan sabotaj ini bukan sahaja dilakukan oleh pihak lawan, tetapi juga berlaku secara dalaman, seperti DURI DALAM DAGING.  Ini adalah sesuatu yang akan menjadi lebih parah bila Pakatan Rakyat menerajui kerajaan pusat.  Ketiadaan pemimpin-pemimpin pelapis yang berkaliber mungkin akan menjadi punca kejatuhan Pakatan Rakyat dan saya berharap pihak Datuk Seri memberi keutamaan kepada perkara ini.  

Datuk Seri, dalam kita cuba menggempur pihak lawan sehabis-habisan, jangan pula membuka peluang untuk percambahan pihak-pihak yang "populis" dan "opportunist" yang sudah mula bertapak dalam parti.  Kegagalan Datuk Seri sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri bukan kerana ketidak-cekapan Datuk Seri, tetapi kerana Datuk Seri terlalu sibuk mendisiplinkan pihak yang menyeleweng sehinggakan Datuk Seri telah membuka cukup ruang untuk pihak yang membenci Datuk Seri mendekatkan diri dengan Datuk Seri dan merencanakan kejatuhan Datuk Seri dalam arena politik.  Ini satu perkara yang sehingga kini tidak berubah dalam sikap Datuk Seri.  Datuk Seri masih bersikap "attacking" tanpa mengambil iktibar untuk memperkukuhkan "defence".  

Saya dan rakyat Malaysia yang mempunyai aspirasi yang sama seperti Datuk Seri, mahukan kemenangan yang berkekalan untuk Pakatan Rakyat, InsyaAllah.  Kami tidak mahu berlaku situasi di mana kemenangan di perolehi tetapi tidak dapat dikekalkan akibat kealpaan dan ketidak-seimbangan dalam "attacking, defending and governing".  

Datuk Seri, politik bukan sekadar permainan untuk menang, tetapi ianya adalah pelantar untuk rakyat menyatakan pendirian dan membentuk kemakmuran dengan izin Allah s.w.t.

Saya sedar bahawa saya cumalah seorang manusia biasa yang tidak punya ilmu setebal Datuk Seri, tidak punya kemampuan berpolitik sehebat Datuk Seri dan tidak mampu memimpin seperti Datuk Seri, tetapi saya berharap sangat agar surat terbuka ini mendapat perhatian Datuk Seri. 

Sekiranya saya ada terkasar bahasa, maka saya memohon maaf kepada pihak Datuk Seri, keluarga dan Pakatan Rakyat.  Aspirasi rakyat bukan untuk kebanggan tetapi untuk menyediakan masa depan yang baik untuk generasi akan datang.

Salam dari saya dan keluarga untuk Datuk Seri dan keluarga.

Wassalam.
tahirnisa.blogspot.com


Saturday 3 March 2012

NAJIB YANG BERCAKAP BENAR, LYNAS YANG TIDAK BERBAHAYA

Perdana Menteri kita Najib Razak menyatakan berkali-kali bahawa kilang pemprosesan nadir bumi kepunyaan Lynas yang dibangunkan dan beroperasi di Gebeng adalah SELAMAT dan TIDAK berbahaya.  Tetapi sebagai rakyat, kita harus faham konteks percakapan seorang ahli politik.  Saya akan memetik kata-kata Sheila Rusly dalam manjadi juri di Raja Lawak, BUSUK bro...BUSUK SANGAT2....itulah hakikatnya apabila kita mendengar ucapan dari orang-orang dalam bidang politik berkenaan JAMINAN yang mereka berikan terhadap satu-satu isu yang melibatkan masyarakat.

Apa juga yang diperkatakan oleh ahli politik adalah mendahulukan kepentingan parti dan kemudian diri sendiri, kemudian negara, kemudian ekonomi dan akhirnya untuk kepentingan rakyat.  Justeru dalam konteks ini, pelaburan yang dilakukan Lynas memberikan anjakan yang positif kepada parti pemerintah dari segi penerimaan negara luar terhadap Malaysia yang akan menjadi pengeluar hasil nadir bumi terkemuka suatu hari nanti.  Apabila ini menjadi kenyataan, maka kerajaan Malaysia akan dapat menempatkan Malaysia sebagai negara pengeluar barangan berteknologi tinggi yang terkemuka di dunia.  

Kepada penyokong BN dan Lynas jangan terlalu gembira dengan penulisan saya bahawa kehadiran Lynas memberi anjakan positif, kerana pada penulisan kali ini, saya juga ingin mengadaptasikan penulisan umpama seorang ahli politik.  Jadi saya akan mula "spin" seperti mana dilakukan oleh orang-orang politik.  Baiklah mari kita mulakan.

Lynas di terajui oleh mat salleh. Mat Salleh, orang-orang yang boleh di percayai?  Sebahagian mereka boleh di percayai tetapi sebahagian lagi adalah penipu professional yang mendahulukan kepentingan diri dan ekonomi mereka.  Majoriti mat salleh datang ke Malaysia untuk kepentingan diri sendiri, walaupun berada di negara ini, mereka tidak akan suka kepada durian, tetapi cuba berikan mereka strawberry, mereka akan makan dengan tenang dan menyelerakan.  Itulah sikap majoroti mat salleh yang datang ke Malaysia atau mana-mana negara lain.  Mereka masih menyimpan ego dan kebanggan diri tentang masyarakat mereka.  

Di sebabkan Malaysia mempunyai rakyat yang senang menerima adat dan budaya orang luar, maka mat salleh suka menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan bila ingin melebarkan adat, budaya dan ekonomi mereka ke dunia luar.  Itulah pegangan majoriti mat salleh bila melibatkan ekonomi dan pelaburan.  Sikap mereka terserlah bila mereka memperkotak katikkan dunia arab dan kini sebahagian besar dunia arab menjadi kuli batak mat salleh.

Najib percaya kepada orang-orang seperti ini dan Najib juga meminta rakyat Malaysia turut percaya kepada mat salleh seperi ini.  Baru-baru ini Najib mengarahkan surat yang diutus Tun Mahathir kepada Perdana Menteri Israel di siarkan kepada umum, walaupun ada yang pertikaikan surat-surat tersebut kerana ianya telah disalin kembali dan bukan surat asal yang di siarkan.  Tetapi apakata kita meminta Najib menyiarkan surat-surat yang pernah Tun Mahathir terima dan balas kepada pemimpin-pemimpin mat salleh sedunia setelah Tun Mahathir mengelarkan mat salleh sebagai pembunuh dan sukakan peperangan sewaktu berucap di mesyuarat OIC di Putrajaya pada bulan Oktober 2003.

"--the Europeans killed six million Jews out of 12 million. But today the Jews rule the world by proxy.  They get others to fight and die for them". Malaysian Prime Minister Mohamed Mahathir at October 2003, OIC Summit "The Jewish treatment of the Arabs in 1947 was as morally indefensible as the slaughter by the Nazis of 6 million Jews." --Arnold Toynbee, historian, speaking to a Jewish audience in Canada "

Ucapan Mahathir mendapat bantahan keras dari segenap bangsa Eropah dan juga Amerika Syarikat.   Di mana surat-surat yang pernah dihantar oleh pemimpin-pemimpin mat salleh ini kepada Tun Mahathir? Kenapa tidak di umumkan?  Mahathir telah menggelar bangsa mat salleh ini sebagai orang-orang yang cintakan peperangan dan kemusnahan, dan kini Najib meminta kita memberi kepercayaan kepada mat salleh yang datang ke Malaysia dan membuka sebuah kilang pemprosesan nadir bumi yang terletak lebih 2000km dari pusat perlombongan di Mont Weld Australia.  Najib meminta kita percaya bahawa Lynas berwibawa, sedangkan Lynas disaman di China dan di Malawi.

Najib meminta kita percaya kepada Lynas walaupun kita tahu bahawa sisa radioaktif yang terhasil dari pemprosesan nadir bumi, tidak akan terurai dan akan kekal sebagai bahan beradioaktif untuk beribu dan berjuta tahun.  Najib meminta kita menyokong Lynas, sedangkan Lynas menjadikan Malaysia pusat pemprosesan kerana menghadapi masalah dengan kerajaan China yang tidak menyokong kehadiran berterusan Lynas di negara mereka.

Najib meminta kita menyokong Lynas, sedangkan Thorium dan Ytrium yang terdapat dalam nadir bumi dan sisa nadir bumi akan kekal beradioaktif dan amat berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.  Najib meminta kita menyokong Lynas, sedangkan dimana juga sisa nadir bumi ini di lupuskan, ianya perlu di angkut dengan "selamat" ke tempat pembuangan dan ini bukan kemahiran kita dalam mengendalikan sisa beradioaktif.

Najib meminta kita menyokong Lynas sedangkan Australia sendiri telah menolak permohonan Lynas untuk mendirikan kilang pemprosesan nadir bumi di negara mereka.  Cuma Malaysia sanggup menjilat ludah yang di ludahkan oleh orang lain, asalkan Malaysia mendapat NAMA di persada antarabangsa sebagai pengeluar mineral nadir bumi terkemuka dunia.