Tuesday 27 March 2012

LYNAS TIDAK AKAN MENIPU PEMEGANG SAHAM MEREKA

Lynas adalah suatu isu yang masih hangat diperkatakan, selagi mereka bertapak di Malaysia, selagi itu saya akan memberi tentangan dengan mengupas dan menulis kebenaran yang mereka cuba sembunyikan.  Rakyat Malaysia memang boleh ditipu, kerajaan Malaysia juga boleh ditipu, bahkan seluruh dunia yang mengikuti perkembangan isu Lynas juga boleh ditipu oleh pihak pengurusan Lynas dan kerajaan BN.  Tetapi sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di bursa saham Australia, mereka tidak boleh menipu para pelabur yang telah membeli saham mereka.  

Dalam penyata kewangan Lynas untuk pertengahan kedua tahun 2011, dinyatakan dengan jelas bahawa Lynas mengalami kerugian hampir AUD39 juta dan kerugian ini makin lama makin meningkat kerana setakat ini Lynas tidak mempunyai sebarang perniagaan lain selain dari perlombongan dan pemprosesan nadir bumi.  Bagi sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran saham sesebuah negara, untuk mempunyai hanya satu perniagaan, adalah amat berisiko tinggi kerana sekiranya perniagaan yang mereka terajui ini gagal, maka keseluruhan perniagaan mereka akan gagal.  Mereka tidak mempunyai perniagaan sokongan untuk memberi imbangan kepada pendapatan syarikat.

Lynas perlu memastikan kilang LAMP mereka di Gebeng beroperasi seperti yang dijadualkan dan sekiranya ini gagal dilaksanakan, maka bukan sahaja Lynas akan lingkup, tetapi pemegang saham juga akan kerugian.  Dalam situasi yang sebegini, Lynas tidak ada pilihan lain selain menjadikan operasi LAMP di Gebeng suatu kenyataan.  Dari aspek ekonomi dunia pula, pengeluaran nadir bumi melalui LAMP di Gebeng akan menghasilkan hampir 30% dari keperluan mineral nadir bumi dunia.  Syarikat-syarikat yang mengusahakan pembuatan barangan berteknologi tinggi sudah hampir boleh menarik nafas lega kerana pengeluaran dari LAMP ini akan membolehkan harga mineral nadir bumi dunia jatuh ke paras yang lebih realistik.

Kerana ini jugalah World Trade Organisation (WTO) menjadikan negara China sebagai sasaran dalam menekan mereka untuk meliberalisasikan pengekspotan nadir bumi ke negara luar.  Kini China menguasai hampir 90% pasaran dunia dan kerajaan China telah mengenakan syarat-syarat yang remeh-temeh terhadap pengekspotan nadir bumi ke negara luar.  Ini menyebabkan Amerika Syarikat merasa tidak selesa dan mengambil inisiatif melalui WTO untuk menekan China.  Tetapi tekanan ini tidak akan menganggu kerajaan China dalam menguasai pasaran dunia dan kerana inilah sebagai pelan jangkamasa panjang WTO menyokong penuh pembinaaan dan operasi LAMP Lynas di Gebeng.  Gebeng kini lebih terkenal dimata dunia kalau dibandingkan dengan Melaka dan Langkawi.

Apabila Lynas menyatakan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa pengeluaran dan pemprosesan nadir bumi di Gebeng tidak merbahaya kepada hidupan dan alam sekitar, sejauh manakah kebenarannya?  Ada yang percaya dengan apa yang dikatakan Lynas dan ada juga yang tidak percaya.  Kalau ditanya kepada saya, sudah pasti saya akan katakan bahawa saya langsung tidak percaya kata-kata pengurusan Lynas dan kerajaan BN tentang betapa selamatnya pemprosesan nadir bumi ini.

Lynas boleh menipu kita, Lynas boleh menipu sesiapa sahaja, tetapi mereka tidak boleh menipu pemegang saham mereka.  Lynas tidak boleh memberikan maklumat yang tidak tepat kepada pemegang saham, Lynas harus memberikan perincian yang tepat tentang kedudukan kewangan, pasaran, unjuran pendapatan dan tidak terkecuali risiko perniagaan.  Semua ini harus dilakukan oleh Lynas untuk mengelakkan diri mereka didenda atau disaman oleh pengendali pasaran saham Australia dan oleh pemegang saham sekiranya berlaku kerugian dalam pendapatan.

Ini adalah situasi seperti seorang penjual insuran atau agen pelaburan ekuiti menyatakan banyak perkara yang baik tentang membeli polisi insuran dan pelaburan ekuiti, tidak ada satu apa pun yang tidak baik dan tidak pula mereka akan nyatakan tentang risiko.  Kita perlu membaca polisi/prospektus yang ditawarkan dan apa yang tertulis dalam polisi/prospektus itulah yang benar dan termaktub dalam pembelian dan pelaburan insuran atau ekuiti.  Justeru apabila kita hendak tahu samada Lynas berbohong atau tidak, maka kita perlu rujuk dokumen yang Lynas lampirkan ke "Australian Stock Exchange", pelabur dan institusi kewangan.

Saya lampirkan dibawah ini Akaun Tahunan bagi penggal kedua tahun 2011 dan penggal pertama 2011 yang menyatakan dengan jelas tentang kerugian yang ditanggung Lynas, harga saham Lynas jatuh dari AUD2.36 ke AUD0.86 (bulan Februari 2012).

Terdapat juga risiko risiko kejatuhan harga nadir bumi ke paras yang boleh menyebabkan Lynas gulung tikar dan menghentikan operasi di Gebeng. Dalam dokumen yang dilampirkan terdapat kebenaran yang tidak pernah dijelaskan kepada rakyat Malaysia tetapi terpaksa dijelaskan kepada pelabur mereka.  Lynas juga menyatakan dengan jelas bahawa nilai aset mereka di LAMP adalah hampir AUD417 juta sedangkan pusat perlombongan di Mount Weld cuma bernilai AUD3 juta.  Adakah anda rasa Lynas mahu kehilangan aset yang sebegini berharga?

Pada "Cleansing Document" bertarikh 28hb Februari 2012, item bernombor 3 berkenaan "Risk Factor" tertulis dengan jelas semua risiko yang kemungkinan boleh terjadi terhadap LAMP dan perniagaan Lynas.  Tertulis bahawa tembok konkrit empangan yang kemungkinan retak dan runtuh juga disenaraikan sebagai risiko yang berkemungkinan terjadi.  Bacalah dengan lengkap dokumen tersebut dan anda sebagai rakyat Malaysia akan faham bahawa kata-kata Lynas dan kerajaan BN bahawa LAMP ini tidak merbahaya dan tidak mempunyai risiko hanyalah pembohongan yang nyata.  Lynas mampu menipu kita tetapi mereka tidak boleh menipu pemegang saham mereka justeru semua risiko terpaksa disenaraikan oleh mereka dengan terperinci.













2 comments:

  1. haritu bagi projek emel 1 malaysia kat company tricubes yg pun dalam masalah kewangan.

    ReplyDelete
  2. Dalam istilah politik, lebih senang berurusan dengan sesiapa yang sedang bermasalah kerana mereka sanggup buat apa sahaja untuk keluar dari permasalahan tersebut. Oleh itu syarikat seperti Lynas yang bermasalah akan dapat menjadi tag-team partner yang terbaik kepada kerajaan BN sebab mereka sama2 akan menolong diantara satu sama lain untuk menyembunyikan segala fakta yang boleh memberi impak negatif terhadap mereka.

    ReplyDelete