Tuesday, 13 March 2012

PENJELASAN KEPADA MEDIA INTERGRATIF BERKENAAN LYNAS

Di bawah ini adalah komen dari seorang blogger yang mengikuti penulisan saya berkenaan isu Lynas dan saya amat menghargai komen dari beliau.  Beliau juga mengutarakan kekeliruan yang timbul berkenaan isu ini kerana ada pihak mengatakan bahawa Lynas adalah selamat dan ada pula pihak yang berkata sebaliknya.  Ikuti penjelasan saya setelah membaca komen beliau ini.
salam..saya mengikuti penulisan dan juga info2 terkini berkaitan LYNAS. Saya amat tertarik dengan penulisan anda namun saya masih terkeliru dengan LYNAS yang dikaitkan dengan bahan nadir bumi yang dikatakan selamat untuk dibangunkan oleh kerajaan.Namun,PR mengatakan disebaliknya dengan bukti penentangan Himpunan Hijau yang diadakan pd Febuari lalu di kauntan. Pada 29 Feb (tak silap saya), Tuan Guru Hj Hadi Awang mengeluarkan statment LYNAS selamat dibangunkan melalui klip video yang di download di laman2 sesawang dan beliau meminta ahli2 PR merujuk pada pandangan Dr. Che Rosli yang juga ahli parlimen PAS kaw Hulu langat, seorang saintis dlm PAS dan juga pensyarah bahagian nuklear di ukm. Persoalan yang ingin saya kemukakan, adakah ini 'polemik' politik semasa yang mempunyai kepentingan pada sesebuah parti atau kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua2 pihak iaitu kerajaan dan pembangkang mempunyai nilai positif untuk masyarakat. Sememangnya saya yakin dengan keputusan yang keluar dari bicara TGHA cuma saya perlukan lagi penjelasan yang lebih mendalam bagi membantu saya mengumpul maklumat2 berkaitan LYNAS untuk tesis m.a..I.allah.Syukran atas pandangan, perkongsian dan juga kerjasama dari sahabat..Sama2 kita berjuang untuk masyarakat demi ISLAM..wslm



Lynas adalah suatu isu global.  Ianya bukanlah suatu isu yang membabitkan hanya Lynas, Malaysia dan Australia.  Kewujudan Lynas adalah untuk menjadi pemain utama dalam perlombongan dan pemprosesan nadir bumi untuk kepentingan dunia secara keseluruhan.  WTO juga terbabit dalam memastikan kilang Lynas di Gebeng akan beroperasi.  Tidak salah dengan kewujudan LAMP Lynas ini, kerana memang hasil dari nadir bumi diperlukan oleh kebanyakan industri yang melibatkan teknologi dan kejuruteraan.  Lynas mempunyai kawasan lombong di Australia tetapi tidak mendapat kelulusan kerajaan Australia untuk memproses nadir bumi di negara mereka sendiri.  Buatlah sedikit kajian dan anda akan dapat maklumat bahawa kerajaan Australia menolak permohonan Lynas untuk memproses nadir bumi di Australia kerana mereka menjangkakan kerosakan kepada alam sekitar akibat dari sisa pasca pemprosesan nadir bumi adalah beradioaktif dan merbahaya kepada persekitaran dan kehidupan.

Merbahaya kepada persekitaran dan kehidupan ini adalah suatu modal perbahasan yang luas.  Bukan sekadar merbahaya kepada mereka yang terlibat dalam pengendalian sisa ini, tetapi ianya juga merbahaya kepada semua manusia yang kemungkinan boleh terdedah kepada radiasi dari sisa ini.  Kebanyakan dari mereka yang menyokong projek Lynas adalah pihak yang melihat apa yang ada di depan mata mereka, iaitu terdapat kilang yang dibangunkan dengan harga beratus juta ringgit dan terdapat sistem keselamatan pemprosesan yang canggih dan tersusun.  Tetapi apa yang diperjuangkan oleh pihak yang menentang Lynas adalah sesuatu yang mata kita tidak nampak, tetapi mata hati kita dapat merasainya, iaitu kemusnahan kemakmuran dan keharmonian untuk masa depan anak-anak kita.

Ramai yang menjadikan negara China sebagai contoh dan penyokong Lynas menyatakan bahawa, di China tidak ada kemusnahan secara besar-besaran akibat pemprosesan nadir bumi dan bagaimana pula akan berlaku kemusnahan jangka masa panjang di Malaysia.  Yang peliknya, mereka-mereka yang menyatakan demikian pernah mendapat ijazah dan sebagainya tetapi mempunyai akal yang sempit.  Nyatakan kepada saya keluasan negara China dan keluasan Semenanjung Malaysia.  Baca dan kaji dahulu dengan teliti tentang semua jenis kemusnahan yang telah pun berlaku di China akibat dari pelupusan sisa nadir bumi yang tidak selamat.  Terdapat satu penulisan di blog saya ini yang menyatakan dengan jelas berkenaan perlombongan nadir bumi di China dan implikasi yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Negara China adalah suatu negara yang besar dan luas dan kalau anda suka melayari youtube maka sudah pasti anda pernah melihat bagaimana rakyat di China tidak ambil peduli tentang keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat. Terdapat video berkenaan kemalangan ngeri di depan mata mereka, tetapi orang yang lalu lalang tidak ambil peduli. Mereka memang TIDAK AMBIL PEDULI dan ini adalah budaya hidup sebahagian dari mereka.  Ini juga merupakan polimik masyarakat setempat yang menunjukkan dengan jelas bahawa di China isu keselamatan dan kebajikan adalah "secondary" atau mungkin hampir tiada.  Malang sekali untuk Lynas, masyarakat Malaysia bukan seperti rakyat di China.  Masyarakat Malaysia, walaupun berbilang kaum dan berlainan agama, adalah masyarakat yang prihatin dan berkebajikan.  Sudah terbukti di seantero dunia bahawa rakyat Malaysia mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi berbanding bangsa dari negara-negara lain.

Justeru, isu Lynas ini dikupas, diselidik, diolah, diterjemah dan diadili oleh rakyat Malaysia kerana mereka kurang percaya kepada kerajaan BN yang pasti akan meneruskan projek ini atas nama "kepentingan rakyat".  Apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang berkenaan kilang Lynas "selamat" ada kebenarannya, tetapi sisa yang dihasilkan melalui pemprosesan nadir bumi TIDAK SELAMAT.  Mana yang lebih penting kepada anda?  Kilang nadir bumi yang dimiliki oleh sebuah syarikat asing dan dikatakan "selamat" atau sisa buangan yang beradioaktif dari kilang ini yang akan dibuang/disimpan di tanah tumpah darah anda dan dikategorikan sebagai tidak selamat?

Isu Lynas adalah suatu isu yang sangat objektif dan tidak perlu ada kekeliruan.  Persoalan yang timbul bukan berkenaan kilang Lynas tetapi penghasilan sisa yang beradioaktif.  Cuba peka kepada apa yang dikatakan oleh kerajaan, AELB, Lynas, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Dr. Che Rosli dan seluruh dunia.....semua menyatakan kilang Lynas selamat.  ADA TAK SESIAPA DIANTARA MEREKA MENGATAKAN SISA BUANGAN DARI KILANG LYNAS ADALAH SELAMAT? Kalau ada diantara mereka yang mengatakan sisa beradioaktif itu selamat, maka mereka perlu tanam diri mereka dan timbuskan dengan sisa beradioaktif ini.  Mereka pasti akan selamat, SELAMAT kembali ke RAHMATULLAH.

Anda keliru kerana anda tidak dapat mengenalpasti mana satu isu yang sebenar.  Kilang Lynas bukanlah isu di sini, tetapi adalah sisa yang beradioaktif.  Sebagai manusia, kita juga perlu ingat bahawa apa juga yang selamat pasti akan melalui ujian dari Allah s.w.t. jua.  Loji kuasa nukear di Fukushima tidak pernah dikategorikan sebagai tidak selamat sehinggalah Allah s.w.t. memberi ujian kepada masyarakat di sana. Kini loji tersebut dikatakan tidak selamat dan kerajaan Jepun sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa Jepun akan mula membangunkan loji tenaga yang menggunakan bahan mentah alternatif dan bukan lagi bahan ber-atom sebagai bahan mentah untuk menjana tenaga.

Sewaktu pembinaan loji-loji nuklear di Fukushima dan seluruh dunia, ianya mendapat kelulusan dari semua pihak termasuk dari badan antarabangsa yang bertanggungjawab terhadap pelesenan dan perjalanan loji-loji berkuasa nuklear.  Kita semua faham nuklear boleh digunakan untuk pembangunan sesebuah negara, tetapi lupakah kita bahawa nuklear juga terbukti boleh memusnahkan kehidupan.  Buktinya sudah pun Allah s.w.t. tunjukkan dengan jelas.

Berbalik kepada isu Lynas, fikirkanlah, sampai bila kilang ini akan KEKAL selamat?  Adakah Tuan Guru Haji Hadi Awang mempunyai jawapannya? Adakah mana-mana jurutera mempunyai jawapannya?  Saya juga tidak mempunyai jawapannya...tetapi yang pasti bukan untuk selama-lamanya.  Suatu hari nanti ujian Allah s.w.t. akan berikan jawapan kepada persoalan ini.  

Kemusnahan yang akan berlaku akibat dari pembuangan sisa beradioaktif ini bukanlah sesuatu yang akan dapat kita lihat dengan kadar segera atau dalam skala yang besar. Tetapi ianya akan terjadi secara "gradual" bilamana sisa tersebut mula ada "contact" dengan alam dan kehidupan.

Lynas sebenarnya ingin bertapak di China dan telah membeli saham disebuah syarikat di China melalui cara yang tidak bermoral dan kes ini pernah di bawa ke mahkhamah dan penyelesaian secara perbincangan luar mahkhamah telah menyelamatkan syarikat Lynas dari membayar gantirugi yang besar. Baca tentang perkara ini dalam blog saya. 

Pemprosesan nadir bumi oleh Lynas tidak diterima di Australia, China dan Malawi tetapi diterima oleh kerajaan Malaysia yang cetek ilmu berkenaan pemprosesan nadir bumi.  Dari segi ekonomi, Malaysia akan mendapat pulangan dan "exposure" yang luas sebagai pengekspot nadir bumi terkemuka dunia, tetapi adakah kita perlukan status tersebut dengan menganak-tirikan keselamatan rakyat sendiri?

Berkenaan isu Lynas dicanang sebagai isu politik oleh parti-parti politik, kita perlu lihat sistem pemerintahan di negara kita dan kita akan faham kenapa isu ini dibawa ke pentas politik.  Jangan terkeliru, bukan isu ini sahaja yang dibawa ke pentas politik, tetapi banyak lagi isu termasuk isu-isu kemasyarakatan dan pembangunan.  Mari kita lihat sistem yang diguna pakai di negara Malaysia.  Demokasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, adalah sistem yang diguna pakai oleh kerajaan memerintah dalam mentadbir negara Malaysia dan demokrasi berparlimen ini sedikit berbeza dari demokrasi yang diguna pakai di negara Amerika Syarikat.  Saya manjadikan Amerika Syarikat sebagai contoh, kerana semua negara di dunia mengakui bahawa Amerika Syarikat adalah negara yang mengamalkan demokrasi secara menyeluruh (benar atau tidak, kita akan kupas dipenulisan yang lain).

Berbalik kepada demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.  Demokrasi Berparlimen adalah demokrasi yang bukan total.  Maknanya, sekiranya ada apa-apa yang rakyat tidak puashati, jangan cakap sebarangan, guna saluran yang betul untuk mengutarakan ketidakpuasan hati anda.  Dalam isu Lynas ini rakyat telahpun mengutarakan segala ketidakpuasan hati dan bangkangan kepada kerajaan yang memerintah tetapi tiada apa yang telah dilakukan untuk menyebelahi rakyat.  Disebabkan demokrasi berparlimen ini tidak mengizinkan rakyat melakukan sesuka hati mereka untuk membantah kerajaan yang memerintah maka pihak yang menentang Lynas membawa isu ini kepada pihak pembangkang yang berada di pentas poilitik.  Apa juga isu yang dibawa ke pentas politik akan didialogkan sebagai pementasan politik dan sudah pasti akan mengguna-pakai bahasa prosa politik.

Bukan salah rakyat dan juga bukan salah pembangkang sekiranya ada pihak yang melihat isu Lynas ini di politikkkan.  Rakyat sudah memberi masa yang cukup dan peluang yang cukup untuk kerajaan BN membuat sesuatu untuk kepentingan mereka tetapi isu ini tidak diambil berat.  Rakyat bukan membantah semua yang dilakukan oleh kerajaan BN....projek MRT di Lembah Kelang pada permulaannya mendapat bantahan rakyat dan juga telah dicanang oleh pihak pembangkang, tetapi bila kerajaan mula mengambil langkah memperbetulkan beberapa perkara yang rakyat tidak puas hati, maka isu ini sudah tidak sepanas dahulu.  Walaupun saya akui masih ada pihak yang tidak puas hati dengan projek MRT ini tetapi secara keseluruhan rakyat sudah boleh menerima.

Jadi bukanlah isu Lynas di politikkan, tetapi sistem pemerintahan di negara kita ini yang membuatkan sesuatu isu itu terpaksa diusulkan di atas landasan politik akibat dari pemerintah yang menggunakan kuasa penuh yang ada pada mereka untuk tidak mengendahkan kehendak rakyat.

Anda perlu membuat kajian mendalam berkenaan isu perlombongan nadir bumi di Bukit Merah yang sehingga kini sisa radioaktif masih aktif dan membahayakan penduduk setempat.  Anda ada menulis bahawa anda perlukan bahan untuk tesis anda dan saya rasa mungkin anda seorang penuntut di universiti tempatan atau luar negara dan sebagai seorang penuntut yang bakal menjadi harapan negara, bangsa dan agama, anda harus mulakan kajian anda berkenaan isu ini dengan mengasingkan isu kilang Lynas yang selamat (selagi Allah s.w.t. tidak mentakdirkan sebaliknya)  dengan isu sisa buangan dari kilang Lynas yang memang TIDAK SELAMAT.

Saya tidak pasti samada penulisan saya ini dapat meringankan atau menghapuskan kekeliruan yang ada dalam diri anda tetapi nasihat saya kepada semua mahasiswa dan mahasiswi, bila anda berada di puncak menara gading, pandanglah ke bawah, kerana setinggi manapun anda mendaki ke arah langit biru, kaki anda masih kukuh berpijak di tanah tempat tumpahnya darah anda.  Dari tanah kita dijadikan, ke tanah jua kita akan kembali.  Jadikanlah Malaysia sebuah negara yang makmur dan harmoni bukan hanya untuk kita tetapi untuk tatapan dan kegunaan generasi akan datang. 

Selamat maju jaya dalam pembelajaran dan perjalanan hidup anda. 

tulus ikhlas dari tahirnisa.blogspot.com

sedikit nasihat kepada Datuk Seri Najib, kerajaan memerintah, parti pembangkang dan kepada semua rakyat Malaysia...DON'T DEFINE IF YOU ARE UNDEFINED and DON'T ASSUME IF YOU ARE BEING PRESUMED

No comments:

Post a Comment