Melaka mencipta sejarah yang bolehlah kita masukkan dalam buku sejarah untuk tatapan generasi akan datang. Betapa negeri yang dulunya kaya dengan warisan dan sejarah kepahlawanan kini menjadi rujukan untuk kemewahan.
2 tandas dinaiktaraf (bukan dibina kembali tetapi sekadar dinaik taraf) dengan kos RM199,800.00. Dengan duit sebanyak itu, rakyat boleh memiliki sebuah rumah teres setingkat di Lembah Klang. Tandas ini terletak di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh. Lebih baik kerajaan Melaka istiharkan aje tandas ini sebagai salah satu bangunan yang wajib dilawati oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Lepas tu letak sebuah meja didepan pintu masuk tandas dan gajikan seseorang untuk kutip "yuran masuk" sebanyak RM0.50 seorang. Lepas mendapat 399,600 pengunjung, maka kerajaan Melaka sudah mendapat kembali modal yang telah dilaburkan/dileburkan untuk menaiktaraf tandas ini. Itupun kalau tandas ini masih bertahan untuk menerima sebegitu ramai pengunjung.
Pondok bas ini pula dibina dengan kos RM44,425.00. Duit sebanyak itu sekiranya disedekahkan kepada fakir miskin, boleh bagi RM100.00 untuk hampir 442 orang. Berapa orang agaknya yang boleh duduk dibawah bumbung pondok bas ini pada satu-satu masa? Satu lagi warisan sejarah terbina. Bagi yang ingin melancong ke Melaka jangan ketinggalan untuk melawat warisan sejarah ini yang terletak di Taman Rumahku Syurgaku, Bukit Katil Melaka.
Pondok bas yang ini pula dibina dengan kos RM34,500.00. Pembaca buatlah sendiri andaian apa yang anda boleh buat dengan duit sebanyak itu (selain dari membina satu lagi pondok bas). Pondok bas ini terletak di depan Kota Cemerlang. Kalau ada masa, para pelancong digalakkan membawa sanak saudara untuk menikmati pemandangan indah pondok bas ini.
Malaysia Boleh.
No comments:
Post a Comment