Thursday, 3 March 2011

PENJUALAN VCD/DVD CETAK ROMPAK

Lebih kurang 10 tahun yang lalu, saya pernah ditanya oleh pemberita dari stesen tv swasta TV3 berkenaan penjualan vcd/dvd cetak rompak yang berleluasa.  Cuma dua soalan sahaja yang dilontarkan kepada saya dan saya juga menjawab dengan ringkas tetapi jawapan yang saya berikan adalah yang jujur dan bukan dibuat-buat atau ditapis.

Soalan pertama
Wartawan : Adakah anda tahu penjualan vcd/dvd cetak rompak yang berleluasa dimasa kini?

Jawapan Saya : Ya, saya tahu.

Soalan Kedua
Wartawan : Pada pendapat anda, adakah pihak berkuasa dapat menghapuskan penjualan vcd/dvd cetak rompak ini.

Jawapan Saya : Tidak, sebab pihak berkuasa asyik menyerbu penjual vcd/dvd cetak rompak sedangkan pihak yang menghasilkan atau mencetak vcd/dvd cetak rompak ini tidak pula diserbu atau diambil tindakan. Pihak berkuasa sendiri tidak ikhlas dalam tindakan mereka.

Itu adalah dua soalan yang diutarakan kepada saya dan dua jawapan yang telah saya berikan kepada pemberita terbabit.  Pada malam hari, saya dan keluarga menonton Berita TV3 iaitu Buletin Utama dan wajah saya terpampang dikaca television bersama jawapan yang telah saya berikan.  Saya masih ingat lagi skrip berita yang dibaca oleh penyampai berita pada waktu itu.  "Apabila ditanya kepada orang ramai berkenaan pendapat mereka tentang masa depan penjualan vcd/dvd cetak rompak ini...adakah akan terus bertahan atau dapat dihapuskan oleh pihak berkuasa?..ini jawapan yang kami terima"...lepas skrip itu dibaca, terpampanglah muka saya diwawancara oleh pemberita.

Saya terkejut sebab saya memang tidak pernah menyangka jawapan yang seolah-olah memerli pihak berkuasa yang tidak telus dalam mengambil tindakan, disiarkan pula oleh stesen terkemuka pada slot Buletin Utama. Keesokannya adalah beberapa kawan-kawan saya dan kawan-kawan kepada isteri saya menyapa dan memberitahu yang mereka nampak saya dislot Buletin Utama.

Apa yang saya nak ketengahkan pada hari ini, bukan kemunculan saya, bukan tentang Buletin Utama, bukan tentang TV3, tetapi tentang kebenaran dalam kata-kata yang saya ucapkan 10 tahun yang lepas.

Hari ini anda semua boleh melihat betapa banyak premis yang menjual VCD/DVD cetak rompak.  10 tahun yang lepas vcd/dvd cetak rompak ini dijual berleluasa ditepi-tepi jalan ataupun di kawasan kaki lima kedai.  Tujuannya mudah, bila diserbu oleh pihak berkuasa, senanglah untuk melarikan diri.  Juga dengan premis mudah alih sebegitu, perniagaan/penjualan vcd/dvd cetak rompak ini boleh dipindahkan ketempat lain mengikut kesesuaian dan permintaan.

Tetapi apa yang terjadi pada masa kini? Premis yang mudah alih telah bertukar menjadi premis yang kekal. Penjualan tepi jalan dan dikaki lima telah menjadi penjualan dalam kompleks membeli belah dan kedai. Penjual pula kelihatan lebih yakin dan lebih berani mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyewa kedai/lot untuk dijadikan pusat penjualan vcd/dvd cetak rompak. Walau berapa kali diserbu sekalipun, kedai yang sama muncul kembali selepas beberapa waktu dan perniagaan vcd/dvd cetak rompak ini diteruskan seolah-olah stok yang dirampas telah dipulangkan oleh pihak berkuasa.

Bila kita bercakap tentang penjualan vcd/dvd cetak rompak ini, kita sering kaitkan dengan aktiviti samseng atau kogsi gelap yang mungkin menjadi pelindung atau penaja kepada perniagaan ini.  Tetapi, adakah benar cuma samseng atau kongsi gelap yang melindungi dan menaja perniagaan ini atau pun ada pihak lain yang kita tak sebutkan juga terlibat?  Yang paling mudah untuk menidakkan penglibatan mereka ialah pihak berkuasa.  Bila sahaja kita tahu ada aktiviti tidak sihat disesuatu kawasan dan aktiviti itu dilakukan secara terang-terangan dan tanpa selindung, siapa yang akan kita hubungi? Pihak berkuasa atau pihak berwajib, merekalah yang akan kita hubungi.

Maka, kenapa aktiviti tidak baik ini masih berleluasa dan semakin dilakukan secara terang-terangan?  Jawapan yang telah saya berikan 10 tahun yang lalu, saya akan ulangi "kerana pihak berkuasa tidak ikhlas".

Keikhlasan seseorang atau satu-satu pihak akan dapat dilihat dari segi perlakuan dan tindakan mereka.  Meraka yang tidak ikhlas kekadang boleh berdrama mengalahkan pelakon drama popular.  Tetapi segala ketidak ikhlasan mereka akan terserlah juga melalui tindakan dan perlakuan mereka.  Apa yang berlaku di Miri baru-baru ini, dimana premis yang digunakan untuk menjual vcd/dvd cetak rompak hanya diserbu oleh pihak KPDNKK selepas diambil gambar oleh Mazidul Akmal dan diadu oleh pembaca blog, memang amat memalukan.  Bagi si penjual, dia memang muka tak tahu malu, sebab tu dia menjual vcd/dvd cetak rompak.  Tetapi yang benar-benar memalukan ialah penguatkuasa yang duduk dibandar yang sama, iaitu Miri, tetapi menutup mata selama ini tanpa mengambil apa-apa tindakan untuk merampas atau menangkap mereka yang terbabit dalam penjualan vcd/dvd cetak rompak ini.

Sepatutnya pihak Mazidul Akmal mengambil gambar ketua KPDNKK Miri dan juga gambar mana-mana ketua jabatan dikawasan atau daerah-daerah lain yang sama alpa dan tidak efektif dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam memastikan penguatkuasaan yang tegas dan amanah. Dengan adanya gambar mereka disiarkan, dapatlah kita, masyarakat Malaysia mengetahui siapa yang membuat kerja dengan baik dan amanah dan siapa tidak. Mungkin ada pihak yang kurang setuju dengan pendekatan ini. Tetapi, bukankah pihak berkuasa telah diberikan masa yang cukup, kuasa yang cukup dan peruntukan yang cukup untuk menunaikan tanggungjawab mereka?  Kenapa tidak dijalankan dengan sebaiknya?

Ada juga pihak yang akan menyatakan, pihak pengguna yang bersalah kerana membeli vcd/dvd cetak rompak.  Pihak pengguna atau masyarakat yang bersalah dan menggalakkan penjualan vcd/dvd cetak rompak ini.  Saya setuju dengan pendapat ini, tidak boleh ditolak bulat-bulat.  Tetapi seperti mana soalan yang lazim kita dengar "Mana satu datang dulu? Ayam atau Telur Ayam?". Persoalan ini mungkin sukar dijawab. Tetapi bagi saya mudah sahaja. Ayamlah datang dulu. Sebab kalau ayam tidak dijadikan terlebih dahulu, macam mana nak hasilkan telur ayam.  Bagi manusia pula, Adam dan Hawa datang dulu, kemudian barulah berlaku kelahiran dibumi Allah ini.

Jadi tak perlulah pihak berkuasa menunding jari terhadap masyarakat yang membeli vcd/dvd cetak rompak ini.  Masyarakat telah banyak berubah jika dibandingkan dengan situasi mereka 10 tahun yang lalu. 10 tahun yang lalu tidak wujud banyak filem-filem box office, kerana masyarakat asyik menunggu vcd/dvd cetak rompak untuk menonton wayang yang mereka gemari, tetapi kini berbelas filem box-office terhasil.  Bukankah masyarakat yang menyokong dan mengeluarkan duit untuk menonton dipawagam-pawagam, bukankah masyarakat menunjukkan sokongan yang jitu terhadap pengeluar filem tempatan mahupun antarabangsa.  Jadi apa pula masih nak tunding jari kepada masyarakat?  Segelintir masih membeli vcd/dvd cetak rompak kerana vcd/dvd cetak rompak ini masih terdapat dipasaran.  Siapa yang bertanggungjawab menghapuskan penghasilan dan penjualan vcd/dvd cetak rompak ini?  Adakah ini juga tanggungjawab masyarakat? Kalau ini pun tanggungjawab masyarakat, apa pula tugas "penguatkuasa" yang seolah-olah tak tahu buat kerja?

Kini masyarakat sudah mula menunjukkan sokongan kepada pihak pengeluar filem dan seharusnya pihak pengeluar filem bertanya kepada pihak berkuasa "kenapa masih tak dapat hapuskan pengeluar vcd/dvd cetak rompak".  Malaysia memang maju dari segi teknologi, siapa kata tidak....diesel yang dijual distesen minyak boleh dibezakan dengan diesel bersubsidi. Bukankah itu menunjukkan pihak berkuasa diMalaysia mempunyai kemampuan untuk menggunapakai kaedah dan teknologi terkini untuk membenteras aktiviti yang terlarang.  Justeru kenapa tiada kaedah saintifik, forensik ataupun berteknologi digunakan untuk mengesan pusat penghasilan vcd/dvd cetak rompak melalui vcd/dvd yang dirampas?   Umum mengetahui mesin-mesin mahupun peralatan yang digunakan untuk menghasilkan vcd/dvd samada yang tulen atau yang dicetak rompak adalah hampir sama.  Cuma sekarang banyak vcd/dvd cetak rompak dihasilkan melalui cetakan atau salinan melalui komputer.  Tetapi sebilangan dari filem-filem yang dicetak rompak masih menggunakan "mastercopy" untuk diulang salin.  Pihak berkuasa pula mempunyai kemampuan untuk melakukan siasatan dari berbilang sudut.  Makmal forensik kini lebih canggih dengan terdapatnya unit forensik alam maya dan sebagainya.  Setiap muat turun atau pembelian wayang melalui internet boleh dikenal pasti dengan mudah oleh pihak berkuasa.  Muat turun dengan jumlah yang dianggap "out of ordinary" boleh disiasat. Terdapat berbagai cara dan kaedah untuk menghapuskan penghasilan vcd/dvd cetak rompak.  Jika pihak bekuasa menyatakan sukar membendung aktiviti ini kerana dilakukan secara kecil-kecilan dan terlindung, maka soalan saya kepada mereka ialah....adakah ini bermakna penjenayah lebih bijak dari anda? 

Adakah pihak berkuasa benar-benar ikhlas??????  Jawapan ada diminda anda sekarang ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment