Friday, 4 March 2011

Vestin Park Hotel, Chennai

Kalau sesiapa bertanya kepada saya dan isteri, dimana boleh dapatkan nasi goreng yang paling sedap pernah kami makan, sudah pasti jawapannya ialah di Vestin Park Hotel, Chennai, India.  Terkejut ke?  Memang benar apa yang saya tuliskan ini.  Kalau tak percaya kenalah cuba dulu masakan chef di sana.

Vestin Park Hotel menjadi tempat saya dan keluarga menginap di Chennai sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.  Hotel tersebut ialah sebuah hotel kelas perniagaan bertaraf tiga bintang.  Secara kebetulan dimiliki oleh keluarga hartawan yang telah menempa nama dan kekayaan dalam bidang tekstil.  Hotel tersebut adalah kepunyaan keluarga Wahid dan mereka merupakan sahabat kepada arwah datuk saya.  Arwah datuk saya juga terlibat dalam perniagaan tekstil dan telah membina nama dan kekayaan sepertimana dilakukan oleh keluarga Wahid.

Perniagaan tekstil kepunyaan keluarga Wahid bertempat di Singapura, sama seperti perniagaan yang pernah diusahakan oleh arwah datuk saya., juga di Singapura.  Inilah faktor penting yang membuatkan kedua-dua keluarga ini bukanlah asing diantara satu sama lain.  Sampai ke hari ini pun saya, isteri dan anak-anak masih membeli kain batik atau tekstil dikedai kepunyaan keluarga Wahid di Singapura.  Selain dari kedai mereka anda boleh juga mengunjungi Mustafa Centre dan Haniffa Textile untuk mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan.  Tapi yang terbaik ialah Mustafa Centre.  Bukan susah nak cari Mustafa Centre yang terletak berdekatan Jalan Serangoon (Serangoon Road).

Baiklah, berbalik kepada Vestin Park Hotel, penginapan di sana taklah semahal mana.  Satu malam dalam Rs2000, jadi untuk 3 malam, cuma Rs6000.  Walaupun hotel tersebut diberi penarafan tiga bintang, kemudahan yang disediakan hampir sama dengan hotel bertaraf empat bintang.  Bilik memang selesa, katil memang bersih, makanan memang enak. Satu lagi makanan yang kami tak dapat lupa akan keenakannya ialah Sandwich Ayam, memang hebat dengan ketulan ayam yang besar, mayonis yang lazat, salad dan tomato segar.  Terfikir pula dalam hati kami, kenapa di Malaysia tak pernah kami makan sesedap ini?

Kami sekeluarga bukan asing kepada hotel bertaraf bintang di Malaysia, Legend Resort Cherating, Holiday Villa Cherating, Diamond Puteri Kota Bharu (Grand Riverview Kota Bharu), Palace Hotel Kota Bharu, Naza Hotel Johor Bharu, New York Hotel Johor Bharu, rangkaian hotel Seri Malaysia, Gem Island Resort Terengganu, Sutra Beach Resort Terengganu, Excelsior Hotel Ipoh, Hotel Malaysia Pulau Pinang, Le Meridean Kota Kinabalu, Celyn Resort Kinabalu, Sheraton Perdana Spa & Resort Langkawi, Sheraton Langkawi Beach Resort dan bermacam-macam lagi hotel telah kami menginap.  Makanan tidak pula sehebat Vestin Park Hotel, Chennai.

Kami pernah juga menginap di Taj Hotel, Agra dan disana kami mengalami pengalaman yang amat berbeza.  Saya rasa akan menceritakan pengalaman kami di Agra dalam tulisan yang lain.  Tetapi dari segi makanan, Agra tidak dapat menyajikan makanan yang unik dan menarik.  Nasi goreng yang kami makan disebuah restoran muslim di Agra, tidak sehebat mana.  Restoran di Agra itu diusahakan oleh orang muslim dari Kashmir.

Tapi makanan yang kami makan di Vestin Park Hotel Chennai tetap yang terbaik dan mantap.  Yang paling penting ianya Halal.

Hotel Vestin Park terletak dikawasan perniagaan yang sibuk jadi tak banyak kawasan riadah untuk dilawati tetapi pengunjung boleh membeli belah di beberapa pusat membeli belah yang terletak berdekatan hotel ini.  Salah satu tempat yang kami kunjungi ialah Spencer Plaza.  Plaza ini lebih kurang seperti pusat membeli belah dinegara kita, cuma bezanya, semua barangan dijual dalam nilai Rupee.

Pengalaman kami sekeluarga di Chennai memang tak sehebat pengalaman berkunjung ke Agra dan Taj Mahal, tetapi masih menjadi kenanga manis buat kami kerana kami dapat menginap dinegara orang dan dapat melihat kehidupan dan budaya masyarakat tempatan di sana. 

Chennai bukanlah sebuah bandaraya yang berprestij tetapi kita dapat menyaksikan adegan-adegan stunt setiap hari di jalan raya.....adegan apa tu? Orang lelaki bergayut pada bahagian hadapan bas dengan kaki di bumper depan bas dan tangan memegang "wiper" dicermin depan bas.  Hebat...seolah-olah hampir semua warga lelaki di Chennai adalah "Rajnikhan In The Making".   Yang kami sekeluarga kurang senang dengan keadaan di Chennai adalah suasana yang sentiasa bising dan bingit dengan kenderaan di jalan raya yang terlalu banyak.  Membunyikan "hon" kenderaan adalah satu kebiasaaan dan boleh membuat darah kita naik ke peringkat tertinggi.  Walaupun begitu, yang menghairankan, dalam bas mahupun LRT, lelaki dan perempuan duduk berasingan.  Tapi kami tak nampak apa-apa arahan atau pelekat yang meminta laki-laki dan perempuan duduk berasingan.  Apabila ditanya kepada salah seorang rakyat tempatan di sana, dia memberitahu ini memang amalan dari dahulukala, dimana lelaki dan perempuan yang bukan muhrim akan duduk berasingan.  Cuma dizaman moden ini ada ramaja yang tidak mengikut amalan ini.  Rata-rata penduduk Chennai beragama Hindu dan mereka mengamalkan disiplin hidup yang sebegini.  Sedangkan kita yang beragama Islam pula yang buat-buat tak tahu hukum hakam bila bersama pasangan.

Barangan di Chennai pula sangat murah jika kita membeli dengan nilai Rupee.  Barangan berkualiti dan berjenama memang mudah didapati.  Tandaharga memang sudah terpampang jadi kita tidak mudah tertipu.  Kawalan keselamatan pula memang ketat dan semasa memasuki pusat membeli belah , kita perlu melalui alat pengesan bom.  Tapi kami sekeluarga tahu, pihak keselamatan di Chennai melakukan pemeriksaan ini untuk meningkatkan keselamatan pengunjung.  Perkara yang sama juga berlaku semasa kami membeli belah di New Delhi.

Apa pun, India adalah sebuah negara yang hebat dan unik untuk dilawati.

Sekian.

No comments:

Post a Comment