Saya rasa ramai yang sudah pun tahu tentang adanya Restoran Victory di USJ9. Kalau diikutkan, memang terdapat restoran yang sama nama dengan restoran ini di Arab Street, Singapura. Di Singapura ianya terletak bersebelahan Restoran Zam Zam. Tapi itu di Singapura. Di Malaysia, saya difahamkan bahawa ini adalah cawangan yang pertama.
Baru tadi saya dan keluarga mengunjungi restoran ini untuk makan malam dan kami menikmati Murtabak Singapura dan Mee Goreng Singapura. Sebenarnya yang lebih sedap ialah meehoon goreng Singapura, tapi kami diberitahu yang mereka kehabisan meehoon, jadi kami order mee goreng Singapura.
Bagi saya dan keluarga, Restoran Zam Zam dan Restoran Victory di Singapore bukanlah asing lagi. Saya mula menikmati murtabak Singapura pada seawal usia 7 tahun. Setiap kali cuti sekolah, ibu akan membawa saya dan abang saya ke Singapura untuk menjenguk sedara mara. Saya akan banyak menghabiskan masa di kedai tekstil kepunyaan arwah datuk di Arab Street. Setiap pagi saya bersarapan di Restoran Zam Zam. Arwah datuk akan tinggalkan saya dan abang saya di Restoran Zam Zam dan beliau akan pesan kepada tuan kedai agar berikan saya dan abang saya murtabak untuk sarapan. Sesudah bersarapan, tuan kedai akan hantar kami balik ke kedai arwah datuk.
Selepas berkahwin, isteri saya pun turut dapat merasa murtabak ini di Restoran Zam Zam. Kini ketiga-tiga anak kami juga telah biasa memakan murtabak ini di Singapura. Namun, hakikatnya, inilah kali pertama kami memakan murtabak ini di Malaysia. Sebenarnya secara ikhlas kami tak pernah makan di Restoran Victory, Singapura dan sebab itulah kami tak pernah ambil tahu tentang perkembangan restoran terbabit sampaikan baru semalam kami dapat tahu ada cawangan di USJ9.
Bukan apa, kami dah sebati dengan keenakan makanan di Restoran Zam Zam, Singapura, justeru kami tak nampak sebab untuk makan di restoran lain.
Apa pendapat kami tentang murtabak Singapura di Restoran Victory, USJ9?
Tak sama dengan murtabak Singapura yang original. Sesiapa yang pernah makan murtabak Singapura di Arab Street, pasti akan bersetuju bahawa inti murtabak Singapura yang original dimasak kering dan bukan dimasak menggunakan ayam yang ada rempah masala. Tetapi di Restoran Victory, USJ9, murtabak ini dimasak dengan menggunakan ayam masala yang biasanya dijadikan lauk untuk nasi beriani. Itu yang disajikan kepada kami.
Satu lagi sajian yang langsung tak ada dalam menu ialah Beriani Dham. Kalau nak diikutkan di Restoran Zam Zam, Arab Street, beriani dham adalah makanan yang istimewa selain dari murtabak. Saya tak pasti samada Restoran Victory di Arab Street menyajikan beriani dham atau tidak. Saya ada bertanya kepada tuan punya Restoran Victory di USJ9 dan dia beritahu bahawa cawangan di USJ9 memang tak jual beriani dham.
Bagi mereka yang tak pernah merasa murtabak Singapura yang original, mungkin ini dah cukup baik. Tapi bagi kami sekeluarga, kalau pihak tuanpunya restoran dapat mengekalkan tradisi dan resipi yang asal adalah lebih berbaloi dan lebih istimewa.
Apa pun kami tetap berpuashati dengan cara penyediaan dan juga kebersihan restoran ini. Bagi yang belum mencuba bolehlah ke restoran berkenaan yang terletak di 21-1, Jalan USJ9/5Q.
No comments:
Post a Comment