Saya berada di Shah Alam ketika kejadian. Isteri saya disamun oleh 4 orang lelaki Melayu berpakaian segak dan mereka melakukannya didepan pagar rumah kami di Semenyih.
Biar saya ceitakan sepenuhnya dan inilah cerita benar kenapa saya dan keluarga cuma hormat kepada polis tetapi tidak percaya kepada polis.
Isteri saya sampai ke rumah dengan berkereta selepas menghantar anak kami ke sekolah di Kajang. Anak kami yang kedua ada bersama isteri saya pada waktu itu. Jiran kami adalah pegawai polis di Balai polis Semenyih. Jiran kami baru sahaja memandu kereta keluar dari rumah untuk ke tempat kerja dia di pekan Semenyih. Isteri saya pula sesampai dihadapan pagar rumah, keluar dari kereta dan membuka pintu pagar.
Tiba-tiba ada sebuah kereta Perodua Viva bernombor pendaftaran WTJ6745 berwarna biru metalik berhenti dihadapan rumah kami dan seorang lelaki melayu keluar dan bertanyakan tempat bagi suatu alamat yang tertulis disekeping kertas. Bila isteri menoleh untuk melihat kertas itu, isteri saya dipukul bertalu dan isteri saya bergelut. Bila isteri saya melawan, keluar seorang lagi lelaki melayu membawa pisau Rambo dan memukul isteri saya dikepala sampai dia terlentang dan hampir pengsan, tudung isteri saya dilucutkan, rantai diragut dan semua ini berlaku dihadapan anak saya dan jiran-jiran.
Selepas itu pemyamun beredar dan jiran datang memapah isteri saya masuk kedalam rumah dia dan menalipon saya. Saya diberitahu berkenaan apa yang terjadi dan diberi nombor pendaftaran kereta terbabit dan terus bergegas balik dari Shah Alam. Dalam perjalanan saya menalipon polis dan membuat laporan. Polis berkereta peronda tiba 45 minit selepas kejadian. Jarak dari Balai Polis Kajang ke rumah kami ialah dalam 15km dan dari Balai Polis Semenyih ke rumah kami ialah dalam 5 km. Polis datang macam menaiki kereta kuda. Apabila ditanya oleh isteri saya kenapa lama sangat untuk tiba ke lokasi, pegawai polis tu dengan selamba berkata, biasalah pagi-pagi macam ni...JALAN SESAK.
Saya tiba dalam 30 minit selepas itu mengharungi semua kesesakan dijalan raya tanpa siren diatas bumbung kereta saya. Kemudian kami ke Balai Polis Semenyih untuk membuat aduan dan setelah itu diarah ke Balai Polis Kajang untuk mengesahkan aduan. Samun berlaku tak sampai 2 minit, tapi urusan kami dengan polis untuk aduan dan pengesahan aduan mengambil masa berjam-jam.
Setelah itu pegawai penyiasat mengambil keterangan dan memberitahu kami bahawa kereta suspek akan dikenalpasti dan isteri saya dan jiran mungkin akan dipanggil untuk kawat cam.
Selepas beberapa hari, saya menalipon pegawai penyiasat dan diberitahu bahawa mereka telah dapat menjejaki kereta terbabit dan telah melakukan serbuan. Warna kereta, nombor pendaftaran, jenis kereta, semua adalah seperti yang telah kami laporkan. Tetapi orang yang tuanpunya kereta adalah anak kepada pegawai polis berpangkat tinggi di Bukit Aman. Jadi mereka kata takkan buat kawat cam dan kes tidak dapat diteruskan. Mereka mengandaikan yang kereta penyamun menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Setelah mendengar penjelasan sebegitu saya memang kecewa kerana sepatutnya polis tak patut mengambil endah siapa suspek itu, sepatutnya kawat cam dijalankan dan biar isteri saya dan jiran tentukan betul atau tidak suspek adalah penyamun yang dimaksudkan. Saya sedar pada waktu itu bahawa polis di Malaysia terikat dengan "Fear Factor", takut untuk mengambil tindakan atas orang-orang yang berkepentingan. Sepatutnya kalau suspek tak bersalah, apa salahnya dia hadirkan diri untuk dikawat cam?
Isteri saya tidak mahu saya memperbesarkan perkara ini kerana kami tahu, situasi sebegini bukan berpihak kepada mangsa tetapi berpihak kepada penjenayah. Takpelah kami kehilangan sedikit barang kemas, cuma kami tidak mahu polis terus dengan sikap tidak professional dalam menjalankan tugas. Kalau nak buat "selective action", lebih baik jangan menjanjikan kawat cam.
Mungkin ada antara pembaca tidak suka apa yang saya tulis di sini, tetapi apa yang ditulis disini bukan fitnah, bukan penipuan tetapi adalah kisah benar yang benar-benar telah dilalui oleh isteri dan anak saya.
Perkara ini sudah hampir setahun berlalu tetapi saya menulis pada hari ini dengan harapan pihak polis akan menjadi lebih efektif dan berani dalam tindakan mereka untuk melindungi mangsa dan bukan dengan bertindak mengikut situasi yang memperlekehkan mangsa.
SELAMAT HARI POLIS....SEMOGA POLIS SEDAR TENTANG TUGAS MEREKA ADALAH UNTUK MELINDUNGI RAKYAT. MEMANG TERDAPAT ANGGOTA POLIS YANG MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB DENGAN IKHLAS DAN JUJUR TETAPI ADA JUGA YANG SEKADAR MENGENAKAN SERAGAM BIRU DAN BERDIRI SEGAK DIKHALAYAK RAMAI TANPA MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN.
No comments:
Post a Comment