Kalau akhir-akhir ini kita berkata tentang perkataan InsyaAllah, pasti ramai fikirkan tentang lagu yang dinyanyikan oleh Maher Zain. Memang lunak dan merdu melodinya. Tapi yang lebih penting ialah mesej yang disampaikan dalam lagu itu.
Sebelum ini berapa ramai dari kita yang sering ucapkan InsyaAllah secara ikhlas? Ucapan InsyaAllah merupakan salah satu ucapan yang paling banyak diucapkan oleh orang Islam seluruh dunia. Tidak kira bangsa dan keturunan, ucapan InsyaAllah sudah menjadi sinonim kepada kehidupan seharian orang Islam.
Tapi masih ada manusia yang tidak suka atau tidak peka untuk mengucapkan InsyaAllah dalam kehidupan seharian mereka. Selalunya manusia sebegini adalah mereka yang mungkin terlalu yakin, terlalu sombong, terlalu takbur atau mungkin terlalu bodoh untuk menilai betapa besar dan berkatnya pengucapan InsyaAllah dalam menjalani kehidupan seharian.
Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan dengan pembaca dan saya harap akan menjadi iktibar kepada kita semua.
Terdapat seorang hartawan di sebuah negeri yang makmur dan sejahtera. Hartawan ini bernama Ahmad dan dia mempunyai keluarga yang besar. Ahmad adalah seorang peniaga dan dia selalu mengembara ke negeri-negeri lain yang berdekatan mahupun yang jauh dari rumah untuk mencari rezeki.
Pada suatu hari selepas Ahmad pulang dari pengembaraan, dia memberitahu kepada isteri dia bahawa dia mendapat untung yang besar dan ingin mengadakan jamuan bersar-besaran bagi meraikan keuntungan berlipat kali ganda yang diperolehi. Isteri dia bersetuju dan mula menghebahkan kepada saudara mara dan jiran-jiran tentang majlis terbabit. Ramai yang dijemput. Kiranya Ahmad ini bukanlah seorang yang kedekut.
Majlis bakal diadakan pada malam hari selepas Isyak. Pada pagi hari berkenaan, Ahmad ke pasar untuk membeli daging kambing untuk dimasak oleh tukang masak yang masyur. Ahmad membawa sejumlah wang ke pasar dan dalam perjalanan dia disapa oleh seorang sahabat bernama Khalid. Khalid bertanya " Assalamualaikum, wahai sahabatku Ahmad, kemana kamu pagi-pagi begini?" Ahmad menjawab "Waalaikumsalam, sahabatku. Aku sedang ke pasar untuk membeli barangan yang diperlukan untuk dimasak. Malam ini aku buat majlis. Jemputlah datang ke rumah aku wahai Khalid".
Khalid pun berkata "InsyaAllah, kalau diizinkan Allah aku akan hadir. Tetapi wahai sahabatku kenapa engkau tidak menyebut InsyaAllah dalam ayat kamu tadi? Kamu tak takut ke kalau-kalau Allah tidak mengizinkan?" Ahmad berang sedikit dan berkata "Kenapa perlu aku menyebutnya, wang ada ditangan aku, aku sudah pun hampir sampai ke pasar, majlis pula sudah pun ditetapkan dan yang paling penting semua jemputan pun dah setuju datang. Kenapa pula aku perlu sebut InsyaAllah? InsyaAllah adalah untuk perkara yang tidak pasti."
Khalid cuma sempat menggelengkan kepala sebelum Ahmad berlalu pergi dari tempat itu. Sampai di pasar Ahmad terus ke gerai menjual daging kambing dan memesan tiga kilo daging kambing. Si penjual pun meratah daging kambing sebelum membungkusnya untuk dibawa balik oleh Ahmad. Ahmad pun menyeluk saku dan mukanya bertukar sedikit cemas. Duit dah tak ada di saku. Ahmad mula menyeluk semua saku dibaju dan seluar tetapi duit dah tak ada. Dia cemas, berpeluh dan melihat sekeliling. Dia tak nampak duit itu.
Peniaga daging kambing pun bertanya,"kenapa ni Ahmad? Kamu nampak cemas". Ahmad dengan suara terketar-ketar memberitahu bahawa duit yang dibawanya telah hilang. Si penjual tadi dengan tenang menyatakan, baliklah kerumah dulu dengan daging ini, InsyaAllah, dilain hari kamu boleh bayar. Ahmad tersentak bila mendengar perkataan InsyaAllah. Dia mendiamkan diri dan berkata terima kasih kepada si penjual tadi dan beredar dengan daging kambing itu.
Dalam perjalanan dia pemikirannya melayang jauh memikirkan tentang duit yang telah hilang dan ucapan InsyaAllah oleh sipenjual daging kambing. Tanpa disedari Ahmad tergelincir dan jatuh ke dalam gaung. Dia terlepas daging kambing tadi dan daging kambing itu bersepah ditanah dan terkena kotoran dan debu. Dia bangun dan mengumpul kembali daging-daging itu dan memuatkan pada bajunya sebab beg yang asal tadi sudah terkoyak.
Dia pulang ke rumah dan isteri Ahmad terkejut melihat keadaan Ahmad dan bertanya apa terjadi. Lantas Ahmad jawab dengan nada terketar-ketar..." InsyaAllah tadi saya kepasar, InsyaAllah duit yang saya bawa hilang, InsyaAllah saya berjalan pulang, InsyaAllah saya terjatuh kedalam gaung, InsyaAllah saya bungkuskan daging tadi dengan baju saya dan InsyaAllah saya dah pulang. InsyaAllah saya tak akan lupa lagi menyebut InsyaAllah."
Bagitulah apa yang terjadi kat si Ahmad kerana memperlekehkan InsyaAllah, sampaikan selepas apa yang terjadi, semua ayat dia mulakan dengan InsyaAllah. Bagi yang taknak menjadi seperti si Ahmad ni, janganlah memandang ringan "keizinan dari Allah".
No comments:
Post a Comment